24 Jun 2013

Pemerintah Indonesia mengisytiharkan keadaan darurat di Riau

15 Syaaban 1434 H. [MOD] -


JAKARTA: Pemerintah Indonesia mengisytiharkan keadaan darurat di Riau mulai kelmarin berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk akibat kebakaran hutan dalam tiga daerah dan perbandaran wilayah itu.

Jerebu daripada kebakaran hutan itu masih berlaku di daerah Bengkalis dan Rokan Hilir serta bandar Dumai, lapor akhbar Jakarta Post, semalam.

"Presiden mengarahkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) agar mengambil alih usaha pemadaman api di Riau, mulai Jumaat," kata seorang pengarah tindakan kecemasan BNPB, Encik Tri Budiarto, kelmarin.

Ini sedang pihak berkuasa Indonesia bersiap sedia menjalankan operasi pembenihan awan di tempat-tempat terjejas.

Timbalan Gabenor Riau, Encik Mambang Mit, berkata usaha pembenihan awan merupakan jalan penyelesaian terakhir kerana teknik-teknik pemadaman api konvensional sukar dilakukan.

"Keadaan cuaca yang amat kering dan berangin dan lokasi-lokasi kebakaran yang sukar dimasuki kenderaan itu telah melambatkan usaha memadamkan kebakaran. Satu-satunya cara penyelesaian ialah dengan pembenihan awan," kata beliau kepada Jakarta Post.

Kebakaran di wilayah pulau Sumatera itu, yang turut mengakibatkan jerebu yang menyelubungi Singapura dan Malaysia, dilaporkan masih berlaku di ladang-ladang kelapa sawit milik syarikat-syarikat Indonesia, Malaysia dan Singapura, kata kumpulan aktivis sekitaran Greenpeace International, semalam.

"Data titik panas Nasa (Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat) yang memantau keadaan di Sumatera sepanjang 10 hari lalu (dari 11 hingga 21 Jun) mendedahkan bahawa ratusan titik panas kebakaran di ladang-ladang kelapa sawit yang dimiliki syarikat-syarikat Indonesia, Malaysia dan Singapura," kata kumpulan itu dalam kenyataannya yang diterima agensi berita AFP.

Indeks Pencemaran Udara (PSI) Singapura mencecah paras 400 - paras kritikalnya - kelmarin, dengan mutu udara yang boleh mengancam kesihatan mereka yang sakit dan golongan tua di negara itu.

Pagi semalam, PSI turun ke paras 323, tetapi masih dalam zon "bahaya".

Beberapa kawasan di Malaysia yang berdekatan dengan Singapura juga teruk terjejas dengan jerebu sepanjang minggu ini.

Menteri Sekitaran Indonesia, Encik Balthasar Kambuaya, lewat kelmarin berkata satu pasukan daripada kementeriannya telah menyiasat lapan syarikat yang disyaki terbabit dalam kebakaran itu dan berjanji akan mendedahkan nama syarikat yang disiasat itu.

Seorang pembantu kanan presiden, Encik Kuntoro Mangkusubroto, pada hari yang sama pula berkata kebakaran itu berlaku di kawasan konsesi ladang yang dimiliki Asia Pulp & Paper (APP) and Asia Pacific Resources International (April).

"Adalah jelas bahawa kebakaran itu berlaku dalam kawasan ladang APP dan April. Kita perlu menyelesaikan perkara ini," kata beliau kepada para wartawan, sedang beliau menunjukkan lokasi-lokasi kebakaran yang berlaku di Riau dari 1 hingga 18 Jun lalu.

APP, syarikat pengeluar kertas ketiga terbesar di dunia, dalam kenyataannya kelmarin berkata usaha pengesahan di tempat kejadian menunjukkan "hanya tujuh tempat yang benar-benar berlaku kebakaran hutan, yang menjejas sekitar kawasan tanah seluas 200 hektar".

"Ia sudah dan sedang dikawal oleh sekitar 1,000 kakitangan bomba dan pasukan mereka. Siasatan awal pasukan kami mendapati lima daripada kebakaran itu dilakukan oleh masyarakat (setempat) untuk membersihkan tanah bagi tanam-tanaman dan dua lagi kes sedang disiasat," jelas APP.

April pula belum dapat dihubungi untuk mengulas perkara tersebut, menurut laporan AFP itu.

Indonesia telah menggiatkan usaha memadamkan kebakaran itu sejak kelmarin dengan menggunakan hujan tiruan dan bom air.

"Keadaan cuaca yang amat kering dan berangin dan lokasi-lokasi kebakaran yang sukar dimasuki kenderaan itu telah melambatkan usaha memadamkan kebakaran."

- Encik Mambang Mit, Timbalan Gabenor Riau.

Tiada ulasan: