25 Jun 2013

Tutup Jonker Street: BN perlihat wajah ‘1Umno’


16 Syaaban 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Penutupan pasar Jonker Street yang menjadi tumpuan pelancong di Melaka lebih sedekad lalu membuktikan dendam kesumat Umno BN terhadap Pakatan Rakyat (PR) yang tidak mampu dibendung lagi.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua dalam satu kenyataan menyifatkan penutupan pasar malam itu sebagai manifestasi politik balas dendam terang-terangan yang amat mengejutkan.

“Tindakan Ketua Menteri Melaka, Idris Haron ini boleh dilihat sebagai tindakan balas dendam kepada komuniti bukan Melayu.

“Ia ibarat memotong hidung pada wajah seseorang,” katanya dipetikRoketkini.

Sambil melahirkan rasa kecewa, beliau tidak menolak tindakan tidak cerdik dengan mengajar pengundi Cina melalui cara ini adalah disebabkan komuniti itu tidak lagi memihak kepada BN dalam PRU13 lalu. 

“Hanya semata-mata Idris Haron mahu balas dendam dan merosakkan komuniti Cina, beliau telah mengorbankan kepentingan warga Melaka dan ekonomi negeri itu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Beliau berkata, apa yang diperlihatkan BN itu adalah wajah hipokrit sebuah parti yang kononnya mengamalkan ‘1Malaysia’ seperti yang menjadi slogan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan. 

“Tetapi kita telah diperlihatkan wajah ‘1Umno’ yang mementingkan kroni dan puak-puak mereka sahaja,” ujar beliau.

Sebelum ini, Kwong Wah Daily melaporkan bahawa Idris Haron dipetik sebagai berkata “kini kita lihat ramai penduduk Melaka memberi sokongan padu kepada DAP berbanding calon MCA yang telah berkhidmat kepada mereka. Jadi, kita telah buat keputusan untuk tutup pasar malam itu dan berharap agar mereka gembira”.

Akhbar itu juga memetik Idris sebagai berkata keputusan penutupan pasar malam oleh Majlis Eksekutif Melaka itu pada 12 Jun lalu adalah kerana “mengikut kehendak orang ramai”.

harakah/-

Tiada ulasan: