11 Julai 2013

Celup Jari Dalam Dakwat Kekal: Tindakan SPR Tidak Konsisten – PR

2 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mendakwa keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan teknik mencelup jari telunjuk dalam dakwat kekal pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, jelas menunjukkan badan itu tidak konsisten.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, SPR sepatutnya mengguna pakai cadangan penggunaan dakwat celup yang telah diusulkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen kerana ia lebih menjimatkan kos.
“SPR telah membangkang cadangan tersebut tetapi akhirnya menggunakannya dalam PRK DUN Kuala Besut.
“Ini juga bukti jelas penggunaan dakwat kekal tidak dilaksanakan dengan baik oleh SPR dalam PRU-13 lalu. SPR sepatutnya mendengar cadangan pelbagai pihak,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Khamis.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban turut menggesa SPR memberi penjelasan lanjut pengunaan dakwat celup sama ada sebelum atau selepas pengundian.
“Kita khuatir jika dakwat dicelup sebelum mengundi, akan merosakkan kertas undi. Ini kerana kita pernah dapat maklumat pegawai SPR membatalkan kertas undi sebagai undi rosak kerana terdapat kekotoran.
“Jadi, kita harap SPR akan beri maklumat lanjut berkaitan perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Mat Akin mengharapkan kerajaan tidak lagi berahsia mengenai nama syarikat yang membekalkan dakwat dan kos.
“Kita mahu perkara yang telus. Mengundi adalah berkaitan kedaulatan negara dan hanya orang yang berhak sahaja boleh mengundi. Kita mahu selesaikan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 1,469 laporan polis telah dibuat mengenai dakwat kekal dan ia perlu tindakan daripada kerajaan.
“Perkara ini mudah dan adakah SPR tidak boleh selesaikan? Kalau betul tidak tahu, SPR perlu membuat kajian di beberapa negara yang telah melaksanaan penggunaan dakwat kekal seperti di negara India.
“Perkara ini serius kerana melibatkan wang rakyat berjuta ringgit dan membazir. Itu pertimbangan kita,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan berkata, bagi negara yang menggunapakai dakwat kekal dalam sistem pilihan raya mereka, tiada rungutan yang signifikan diterima.
“Isu sebenar kita bangkitkan mengenai dakwat kekal bertujuan untuk menghalang daripada mengundi dua kali, itu sahaja. Pelbagai alasan diberikan, ini mahu lari daripada isu sebenar,” katanya.
Pada Rabu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Besut, Terengganu, perlu mencelup jari telunjuk kiri ke dalam dakwat kekal berbanding prosedur yang digunakan sebelum ini.
Pengenalan prosedur baru tersebut dibuat berikutan rungutan banyak pihak bahawa kaedah mencalit dakwat kekal pada jari yang digunakan buat kali pertama pada pilihan raya umum ke-13 lalu tidak kekal seperti yang dijanjikan.

Tiada ulasan: