12 Julai 2013

Pastikan makanan di pasar Ramadhan selamat


3 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Dalam beberapa tahun yang lepas, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyuarakan kebimbangan berhubung laporan sampel makanan yang diambil secara rambang oleh pihak berkuasa kesihatan dan CAP di beberapa gerai-gerai di Pasar Ramadhan didapati mengandungi bakteria patogenik berbahaya seperti E. Coli dan Salmonella.

“Kita dapat melihat banyak gerai sementara didirikan di seluruh negara untuk menjual pelbagai masakan dan juadah untuk berbuka puasa,” ujar Presiden CAP, SM Mohamed Idris (gambar) dalam satu kenyataan. 



Katanya, sesetengah gerai ini didirikan di kawasan terbuka di mana makanan terbiar dalam keadaan terdedah kepada debu jalanan dan lalat.



Justeru, ujarnya CAP sekali lagi mengulangi gesaan terhadap Kementerian Kesihatan agar memaklumkan kepada orang ramai apa yang perlu dilakukan untuk memastikan makanan yang dijual di gerai makanan sementara ini adalah selamat untuk dimakan. 



Beliau mempersoalkan bagaimanakah pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negara untuk memastikan ia mematuhi undang-undang makanan. 



“Adakah pengendali gerai makanan sementara ini dihantar untuk menjalani kursus pengendalian makanan sebelum memulakan perniagaan mereka dan adakah mereka juga telah menjalani inokulasi terhadap penyakit tertentu seperti tifoid?” tanya beliau.



Beliau berkata, bakteria E.Coli dan Salmonella boleh menyebabkan penyakit yang serius, dan malah boleh membawa kematian terutama sekali kanak-kanak amat berisiko.



“CAP berharap risiko keracunan makanan tidak diambil mudah pada masa ini dan langkah yang lebih ketat perlu diambil untuk memastikan hanya makanan yang bersih dan sihat sahaja yang dijual,” katanya.



CAP juga, kata beliau menggesa umat Islam supaya tidak berbelanja dengan boros dan membazir pada bulan Ramadhan yang mulia ini tetapi bersederhanalah dalam berbelanja dan penggunaan mereka.
harakah/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Orang melayu memang susah sekali nak berubah dari segi menjaga kebersihan...kita tak peka samada gerai itu bersih, samada makanan ditutup atau tidak...kita tetap beli juga. Justeru, pekedai pun tak ambil kisah akan kebersihana kerana memandangkan walaupun dia tak tutup kuih muih tu, orang melayu tetap beli juga! Cuba semua orang pakat jgn beli makanan yg terdedah tanpa di tutup...baru ada tekanan kepada si penjual tu!