10 Julai 2013

Penduduk Kampung Batu 8 Amat memerlukan Bekalan Air Bersih

1 Ramadhan1434 H. [MOD] -

LAMBIR - Kampung Usaha Jaya Batu 8 jalan Miri Bintulu yang terletak lebih kurang 10 kilometer dari pusat bandaraya Miri masih terpinggir dari arus pembangunan dan kemudahan asas.

Penduduk Kampung Usaha Jaya Batu 8 mengadu yang mereka sudah lama menanti bekalan air bersih untuk disambungkan ke rumah mereka tetapi sehingga kini mereka hanya diberi tangki 1Malaysia sebagai tempat takungan tadahan air hujan.

Walaupun Loji Perawatan Air LAKU (Lembaga Air Kawasan Utara) di Lambir hanya beberapa kilometer saja dari kampung tersebut namum keperluan asas seperti bekalan air bersih masih belum disambung ke tempat kediaman mereka. Cuma yang ada hanya bekalan elektrik dan juga projek jalan desa yang belum siap sepenuhnya.

Perkara ini sudah lama berlaku dan inilah masalah yang sering menjadi persoalan penduduk kampung tersebut mengapa pihak yang berkenaan tidak dapat menyalur bekalan air bersih ke kawasan mereka.

Mereka amat perlukan bekalan air bersih untuk kegunaan harian terutama kepada penduduk Islam yang mengerjakan ibadat puasa dan akan menyambut hari perayaan. Masalah tiada bekalan air bersih kepada penduduk kampung ini akan menjadi lebih sukar apabila berlaku kemarau panjang kerana air hujan yang ditakung dalam tangki tidak mencukupi untuk kegunaan harian.

Disamping masalah bekalan air bersih, keadaan jalan kampung yang masih belum bertar sepenuhnya juga perlu diberi perhatian oleh pihak yang berwajib, walaupun projek jalan desa sudah lama dijalankan tapi masih belum siap sepenuhnya. Keadaan peparitan yang tidak teratur,  jalan tidak rata dan masih ada lopak, seharusnya tidak terjadi sekiranya projek jalan desa dilaksanakan dengan sempurna oleh pihak yang berkenaan.

Setelah BN mencapai kejayaan besar dalam PRU13 yang lalu dan berjanji akan menepati setiap janji, sepatutnya masalah bekalan air bersih di kawasan tersebut dapat diatasi dan diberi keutamaan kerana penduduk di kawasan itu telah memberi sokongan padu kepada kerajaan BN.

Semoga masalah bekalan air bersih dan jalan penduduk Kampung Batu 8 ini dapat diatasi dengan segera oleh pihak yang berkenaan. Dengan adanya bekalan air bersih sekurang-kurangnya ini akan memberi kemudahan kepada penduduk kampung tersebut terutama sekali kepada penduduk yang beragama Islam yang sedang mengerjakan ibadat puasa. Mereka tidak perlu lagi bersusah payah  menadah air hujan di saat mereka amat memerlukan air untuk kegunaan harian.

Kita mengesa pihak yang berwajib mengambil perhatian dan bertindak segera mengatasi masalah rakyat ini tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Kerjasama dengan pihak yang berkenaan amat dihargai.

Jofri Jaraiee

PAS Miri, Sarawak

Tiada ulasan: