15 Syawal 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Nahas ngeri yang mengorbankan 37 orang di KM3.5 Jalan Genting Highlands semalam tidak menghalang pelancong tempatan dan asing untuk terus berkunjung ke pusat hiburan terkemuka itu.
Tinjauan Bernama mendapati Genting Highlands Transport Sdn Bhd menjadi pilihan pengangkutan kerana ia merupakan satu-satunya syarikat yang menawarkan perkhidmatan terus dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands dan Genting Higlands ke Kuala Lumpur di Jalan Tun Razak.
Syarikat itu juga memiliki bas yang terlibat dalam tragedi itu semalam.
Orang ramai kelihatan lebih memilih menaiki bas ke Genting Highlands berbanding teksi berikutan harga tambang murah iaitu RM5.90 bagi dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak.
Pelancong dari Indonesia, Peter Lee, 40, berkata beliau mahu mengunjungi pusat hiburan terkemuka itu hari ini walaupun mengetahui mengenai tragedi itu.
Baginya, kejadian itu akan membuatkan pemandu dan syarikat pengangkutan lebih berhati-hati.
"Saya baru sahaja tahu insiden itu hari ini. Tetapi, saya sudah datang sini untuk bercuti dan mustahil untuk membatalkannya. Jadi, semua itu saya letak ke tepi sahaja," katanya.
Turut berkongsi pandangan ialah pelancong tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 50, yang tidak mahu bayaran pendahuluan hotel di Genting Highlands 'hangus' begitu sahaja gara-gara insiden ngeri itu.
Wong yang bercuti ke Genting Highlands bersama kawan-kawannya berkata pengangkutan bas menjadi pilihannya kerana harga tiket murah berbanding teksi yang mengenakan bayaran RM20 seorang.
"Auntie tetap hendak pergi...lagipun, auntie sudah lama rancang percutian ini dan tidak mahu batalkan," katanya.
Pekerja Genting Theme Park, Sahur Asmuri, 29, yang menggunakan perkhidmatan bas syarikat itu dua kali seminggu, berkata bas merupakan pengangkutan paling fleksibel bagi dirinya.
Ini kerana, penumpang tidak perlu tunggu lama kerana bas akan ada setiap setengah jam dan operasinya bermula dari 7 pagi hingga 9.30 malam.
Setiap hari, katanya, tujuh buah bas disediakan meliputi 32 perjalanan pergi dan balik.
Seramai 37 orang termasuk pemandu bas terbunuh dalam nahas itu apabila bas yang dinaiki 53 orang itu terjunam 60 meter ke dalam gaung ketika menuruni jalan curam dari puncak Genting Highlands menuju ke ibu negara. - BERNAMA
1 ulasan:
kepada yg beragama islam....eloklah elakkan pi tempat tu...byk lagi tempat lain yg boleh dilawati....tempat orang berjudi...mana ada barakahnya...renung-renungkanlah........
Catat Ulasan