22 Ogos 2013

Kelantan agresif penerangan ke pedalaman

15 Syawal 1434 H. [MOD] -
KOTA BHARU: Mengambil kira kawasan pedalaman di Kelantan kurang mendapat info mengenai kerajaan negeri, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN) merancang memperkasakan lagi peranannya.

Antaranya memberi tumpuan melalui program penerangan, aktiviti pemimpin bersama rakyat dan ramah mesra secara lebih agresif di kawasan terbabit. 

Selain itu UPKN juga merancang mewujudkan Unit Hubungan Serantau dan membuka pejabat cawangan di luar Kelantan. 

Pengarahnya, Wan Yusoff Wan Mustapha (gambar) berkata, Unit Hubungan Serantau diwujudkan bagi membolehkan anak-anak Kelantan yang tinggal di merata tempat mendapat info lebih tepat mengenai kerajaan negeri.

“Anak-anak perantau tinggal di seluruh pelusuk negara. Dengan ada unit khas membolehkan pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan. Pejabat cawangan dirancang diwujudkan di Kuala Lumpur. 

“UPKN dengan kerjasama sama Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan) menyalurkan lebih banyak maklumat dan menganjurkan pelbagai program,” katanya di sini.

Menurutnya unit tersebut akan diketuai seorang Penolong Pengarah dengan dibantu pegawai dan pembantu. 

UPKN sekarang mempunyai tiga unit iaitu Penerangan, Penerbitan dan Multimedia dengan bilangan pegawai dan kakitangan seramai 29 orang. Ia diwujudkan sejak 1990.

Selain itu kerajaan negeri juga mempunyai Urusetia Pembangunan Belia, Sukan dan NGO serta Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat.

Wan Yusoff juga berkata, UPKN memberi fokus lebih kepada kawasan di pedalaman memandangkan penduduk di kawasan berkenaan didapati belum mendapat maklumat mendalam mengenai kerajaan negeri. 

“Program turun ke bawah akan diberi tumpuan di kawasan berkenaan terutamanya Gua Musang, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Machang.

“Penduduk di kawasan terbabit tidak mendapat pendedahan lengkap mengenai kerajaan negeri disebabkan keupayaan penebusan internet di kawasan tersebut masih terkebelakang.

“Tumpuan sekarang mengadakan majlis-majlis penerangan, dialog, pameran dan ramah mesra pemimpin bersama penduduk,” ujarnya.

Selain itu UPKN juga merancang melihat sejauh mana maklum balas rakyat terhadap program dianjurkan kerajaan negeri melalui kajian yang akan dilakukan.

Menurutnya, maklum balas rakyat di peringkat bawah terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman cukup penting bagi membolehkan kerajaan negeri merancang agenda bertindak.

Menurutnya juga kerajaan negeri merancang memperluaskan akses internet di kawasan pedalaman dengan mewujudkan rangkaian internet percuma di kawasan pusat bandar, masjid dan pusat khidmat wakil-wakil rakyat. 

“Kemudahan internet cukup penting terutamanya bagi membolehkan penduduk mendapat gambaran lebih jelas mengenai sesuatu isu yang berlaku.

“Petugas unit multimedia akan menyalurkan maklumat melalui media baru termasuk facebook bagi membolehkan orang ramai mendapat maklumat segera,” ujarnya.

Sebelum ini Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob menjelaskan antara faktor PAS gagal bertapak kukuh di Gua Musang dan Jeli memandangkan banyak maklumat tidak sampai ke pengetahuan rakyat.

harakahdaily.net

Tiada ulasan: