(Antara jurufoto media asing yang membuat liputan pembantaian di Medan Raba'ah pada 14 Ogos lalu)
MESIR: Kerajaan sementara Mesir yang kini sedang berusaha menutup kekejaman mereka terhadap rakyatnya, bertindak mengancam media asing yang didakwa mereka sebagai berat sebelah dalam membuat laporan khususnya berhubung beberapa siri serangan dan pembunuhan yang berlaku.
Sehingga kini sejumlah wartawan telah ditahan, diserang malah ada yang terkorban ditembak penembak tepat sewaktu sedang merakam gambar dan membuat liputan siri-siri serangan tentera terhadap rakyat.
Beberapa laporan media menyebut Agensi Maklumat Negeri telah mengeluarkan kenyataan kepada wartawan pada Sabtu lepas, menjelaskan isu-isu yang dilihat sebagai media berlaku tidak adil.
Laporan itu antara lain menyebut bahawa pihak kudeta merasakan kepahitan dan keperitan terhadap beberapa saluran media Barat yang berpihak kepada Ikhwanul Muslimin dan tidak mengendahkan keganasan yang telah dilakukan oleh kumpulan ini.
Sejak berjaya "membersihkan" medan Raba'ah dengan membunuh ribuan penyokong Morsi, kerajaan kudeta dan tentera pimpinan Jeneral Abdul Fattah As-Sisi telah menyifatkan siaran media antarabangsa termasuk Al-Jazeera sebagai musuh kepada rakyat Mesir.
Kenyataan ini telah menyebabkan lapangan kerja para wartawan kini bertukar tegang di mana mereka telah diganggu di jalanan dan dalam sebahagian kes lain, ditahan oleh pihak berkuasa Mesir ketika cuba untuk melaporkan peristiwa yang berlaku di tempat kejadian.
Dalam perkembangan terbaru, Ikhwan Online melaporkan bahawa wartawan Al Jumhuriah di Buhaira, Hamid Al Barbari ditangkap selepas mendedahkan detik pembunuhan rakannya wartawan Al Ahram, Tamir Abdul Rauf oleh tentera sebelum ini.
Dilaporkan, penahanan itu dibuat selama empat hari atas soal siasat dengan tuduhan memiliki senjata.
Pada serangan terhadap penyokong Morsi di Raba'ah 14 Ogos lalu, pihak tentera juga turut mensasarkan jurugambar dan wartawan.
Jurugambar bagi saluran Misr25, Ahad Abelgawad, turut ditembak mati oleh penembak tepat.
Seorang lagi jurugambar Mus'ab Asy Syami juga terkorban. Beliau digelar sebagai "hero jurugambar" di kalangan rakannya kerana sentiasa berjaya merakam gambar-gambar terbaik sepanjang berlakunya perhimpunan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan