Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau berharap isu konsesi air di negeri itu dimuktamadkan berikutan sambutan menggalakkan daripada kerajaan berhubung perkara itu. 



Abdul Khalid mengulangi bahawa kerajaan negeri bercadang menyusun semula industri perkhidmatan air secara holistik bagi memastikan empat syarikat konsesi air di Selangor disatukan menjadi sebuah entiti.


"Saya bertemu Menteri Wilayah Persekutuan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) hari ini dan beliau menyebut keperluan untuk mempercepatkan penyelesaian konsesi air di negeri ini dan kami sedang menunggu untuk memuktamadkannya, " katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam semalam.


Kerajaan negeri Selangor telah membuat tawaran RM9.65 bilion untuk mengambil alih kesemua empat syarikat konsesi air di negeri ini terdiri daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (SPLASH).



Mengenai kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili hari ini bahawa kerajaan menyasarkan untuk mencapai penyelesaian dengan kerajaan Selangor berhubung projek loji rawatan air Langat 2 dalam tempoh tiga bulan, Abdul Khalid berkata beliau sentiasa bersedia untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara itu.



- Bernama