21 Ogos 2013

Selangor Adakan Forum Awam Manifesto PRU-13 September Depan

14 Syawal 1434 H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menganjurkan forum penerangan manifesto yang pernah ditawarkan Pakatan Rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu pada September depan.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, forum itu akan diadakan secara terbuka bagi mendapatkan pandangan orang awam tentang kaedah terbaik untuk kerajaan Selangor melaksanakan manifesto yang dijanjikan sebelum ini.

Hasil maklum balas rakyat dalam forum ini akan dikumpulkan oleh setiap jawatankuasa tetap untuk digunakan dalam penyediaan Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung tahun ini.
"Forum ini akan diadakan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mana wakil rakyat mengambil bahagian dalam perbincangan dan orang awam diberi peluang menyuarakan pandangan bagi pelaksanan manifesto ini.
"Sekretariat forum ini akan diketuai oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar. Kitamenjangkakan forum ini akan bermula pertengahan September ini," katanya dalam sidang media di Bangunan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.
Abdul Khalid berkata pihaknya yakin dan percaya bahawa pandangan rakyat amat penting dalam memastikan semua polisi dan perancangan yang digariskan dalam manifesto itu menepati kehendak sasaran.
"Pakatan Rakyat memandang serius tanggungjawab untuk menguruskan aset negeri dengan baik demi kepentingan rakyat dengan cara menggunakan hasil negeri untuk merapatkan jurang pendapatan dan mengurangkan kadar kemiskinan menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)," katanya.
Pakatan Rakyat Selangor pada 19 April lalu melancarkan manifesto PRU-13 dengan janji baru, antaranya bantuan wang tunai RM500 kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan kali pertama.
Manifesto itu juga berjanji meneruskan program Skim Mesra Usia Emas serta memberi hadiah hari jadi berupa wang tunai RM100 kepada mereka yang berusia genap 60 tahun.
Turut dijanjikan membina rumah 'mampu milik' dengan keluasan minimum 800 kaki persegi, berharga di bawah RM150,000 seunit.
Bertemakan “Manifesto Pakatan Rakyat Selangor Meneruskan Kecemerlangan”, ia mengandungi empat teras iaitu Ekonomi Rakyat,Kesejahteraan Rakyat, Rakyat Menerusi Aktiviti Keagamaan dan Kebudayaan, serta Kerajaan Rakyat.
Antara lain, mereka berjanji mempertingkat kecekapan memproses urusan pemilikan tanah serta meneruskan tawaran bagi pemilikan geran tanah persendirian kepada pemohon yang layak, termasuk mereka yang menghuni lebih 12 tahun.
Pakatan juga berjanji untuk memperluas “Polis Komuniti” yang dibiayai kerajaan negeri, memberi pemeriksaan percuma kanser testis dan prostat untuk kaum lelaki

Tiada ulasan: