21 Syawal 1434 H. [MOD] -
Dunbukitpayong, | 28 Ogs 2013 |
Pada zaman dahulu ada seorang raja. Baginda mempunyai seorang ahli sihir. Setelah ahli sihir itu merasakan dia telah tua, berdatang sembahlah dia kepada raja menerangkan dia telah tua dan hampir sampai ajalnya. Dia memohon kepada raja agar raja mencarikan anak kecil, kerana kepada anak itu akan diperturunkan segala ilmu sihirnya. Permohonan itu dikabulkan raja, lalu diserahkan kepadanya seorang anak kecil dan datanglah anak kecil itu berulang-ulang kepada tukang sihir itu mempelajari sihirnya.
Di antara tempat tinggal tukang sihir dan tempat tinggal anak itu ada pula tinggal seorang pendeta. Anak itu sentiasalah singgah pula berteduh di tempat kediaman pendeta itu dan banyak pula dia mendengar ucapan-ucapan daripada pendeta tua itu yang amat menarik hatinya. Maka kalau dia terlambat datang kepada tukang sihir, tukang sihir itu marah lalu memukulnya. Dan kalau dia terlambat pulang ke rumah orang tuanya kena marah pula mengapa terlambat pulang. Lalu diajarkan oleh pendeta tua itu suatu jawaban, kalau ditanya oleh tukang sihir itu mengapa lambat, jawablah kerana terlambat turun dari rumah dan kalau ditanya pula di rumah mengapa terlambat, katakan guruku tukang sihir menahanku.
Dalam tempoh tersebut selalulah dia pulang dan pergi ke rumah tukang sihir dan tetap singgah di rumah pendeta. Pada suatu hari orang yang lalu lintas yang berjalan di jalan yang ditempuhnya kelam kabut kerana ada binatang buas mengganggu, sehingga orang merasa takut lalu di situ. Ketika itu anak kecil itu berada di sana. Lalu dia berkata “Akan aku uji manakah yang lebih dapat aku gunakan, ajaran tukang sihirkah atau ajaran pendeta. Lalu diambil sebiji batu dan dia ucapkan “Ya Allah! Kalau ajaran pendeta itu yang benar di sisi Engkau, lebih dari ajaran tukang sihir maka bunuhlah binatang ini! Supaya manusia yang lalu di jalan ini tidak terhalang,” Lalu dilemparkan batu itu kepada binatang tersebut. Maka matilah binatang itu dan orang ramai boleh lalu seperti biasa.
Setelah dia mengadap pendeta itu diceritakanlah pengalamannya itu kepada pendeta itu. Maka berkatalah beliau “Wahai budak, kamu telah mencapai darjat yang lebih tinggi daripada yang aku capai! Tetapi aku peringatkan engkau bahawa engkau akan menderita dan banyak ujian. Maka kalau ujian itu datang, janganlah engaku beritahu akan perhubungan engkau dengan aku.”
Sejak waktu itu nama anak itu kian terkenal dan dapatlah dia mengubati orang ditimpa kusta dan penyakit lain-lain.
Raja mempunyai seorang pembesar yang selalu diajak raja bermesyuarat. Kebetulan pembesar itu buta.
Pembesar buta itu mendengar cerita tentang anak itu lalu datanglah dia membawa hadiah sebanyak-banyaknya dan berkata “Sembuhkanlah butaku! Hadiah ini adalah untukmu dan jika aku sembuh hadiah ini aku tambah lagi,”
Anak itu menjawab, saya tidak ada kuasa menyembuhkan apa juapun penyakit. Yang Maha Kuasa menyembuhkannya hanyalah Allah. Kalau tuan sudi beriman kepada Allah, saya akan berdoa kepada Allah memohon kepada-Nya agar tuan disembuhkan. Mendengar ajakan anak itu maka berimanlah pembesar buta itu. Lalu anak itu berdoa maka pembesar itupun sembuhlah dan celiklah kedua belah matanya.
Setelah matanya sembuh datanglah kembali dia ke majlis raja. Raja sangat tercengang lalu bertanya :
“Siapakah yang menyembuhkan matamu?,”
Pembesar itu menjawab “Tuhanku,”
Dengan hairan raja bertanya pula : “Apakah aku yang engkau maksudkan?,”
Dia menjawab : “Bukan! Tuhanku dan tuhan Tuanku adalah Allah,”
“Engkau mengakui ada lagi tuhan selain aku?,”
Pembesar itu tetap menjawab : “Tuhanku dan tuhan Tuanku adalah Allah,”
Raja sangat murka mendengar jawaban itu, sehingga orang pembesar itu ditangkap dan diseksa. Oleh sebab tidak tahan menderita sakit, dibukanya rahsia bahawa guru yang mengajarnya ialah anak kecil tersebut.
Anak kecil itupun ditangkap lalu ditanyai apakah benar dia dapat menyembuhkan orang berpenyakit kusta, buta dan lain-lain. Anak itu menjawab bahawa semua itu tidak benar! Dia tidak dapat menyembuhkan sesiapapun jua. Yang menyembuhkan segala sakit hanyalah Allah Yang Maha Kuasa.
“Akukah yang engkau maksudkan?,” tanya raja.
“Bukan,” jawab anak itu, “Tapi Allah!,”
“Apakah engkau mengaku pula ada tuhan selain aku?,” tanya raja lagi.
Dengan tegas anak itu menjawab pula : “Tuhanku dan tuhan raja ialah Allah,”
Mendengar jawapan demikian anak itu diseksa. Dia dipaksa mengaku dari mana dia mendapat pelajaran yang amat ganjil itu. Oleh sebab tidak tahan diseksa maka dia menunjukkan pendeta yang mengajar dia. Pendeta itu segera ditangkap. Diapun diseksa dan dipaksa meninggalkan agama yang dianutinya, mengatakan ada tuhan selain raja, namun pendeta itu tidak mahu. Akhirnya kerana tidak mahu meninggalkan agama bertuhan kepada Allah itu, diperintahkan raja menggergaji kepala pendeta itu. Kepalanya digergaji terbelah dua dan mati.
Kemudian dipaksa pula pembesar yang telah sembuh dari buta itu meninggalkan agama bertuhankan Allah dan kembali hanya bertuhan kepada raja. Diapun tidak mahu. Diapun digergaji juga, sampai terbelah dua badannya lalu mati.
Lalu dihadapkan anak kecil itu. Dia pun mulai dipaksa meninggalkan agama yang diimaninya, Tetapi dia tidak mahu. Lalu raja memerintahkan anak kecil itu dibawa ke puncak gunung, dan raja memerintahkan: “Apabila sampai di puncak gunung, paksa dia sekali lagi kembali kepada agama kita. Kalau dia tidak juga mahu lemparkanlah dia ke bawah.
Maka dibawa dia ke puncak gunung. Sampai di sana anak kecil itu berdoa : “Ya Allah, peliharakanlah aku dari mereka dengan kekuasaan-Mu,” Tiba-tiba bergoncanglah gunung itu dan orang-orang yang menghantar itulah yang jatuh dan anak kecil itu selamat.
Diapun turun dan terus mengadap raja. Lalu raja bertanya : “Apa khabar orang-orang yang aku suruh menghantarkan engkau ke gunung?”
Anak itu menjawab :”Tuhanku telah memeliharakan daku dari mereka.”
Rupa-rupanya raja belum puas. Sekali lagi ditangkap dan disuruh hantarkan anak kecil itu dengan sebuah sampan ke tengah laut. Diperintahkan kepada orang yang menghantarnya supaya memaksa anak itu kembali kepada agama asalnya, kalau tidak mahu ditenggelamkan dia ke laut. Sekali lagi anak itu menadahkan tangan ke langit, maka datanglah angin ribut yang sangat besar. Tenggelamlah seluruh orang yang diperintahkan menghantarnya itu dan dia sendiri selamat berenang ke tepi. Dan kembali dia mengadap raja.
Diapun ditanya apa yang telah terjadi. Dia menjawab, tuhannya telah menolongnya dan orang-orang itu telah tenggelam semuanya. Kemudian dia berkata kepada raja : “Hai raja, Tuanku tidak akan dapat membunuhku kalau dengan cara demikian. Tuanku hanya boleh membunuhku jika tuan kerjakan apa yang aku suruh. Kalau tidak, tidaklah berhasil maksud Tuanku menyingkirkan aku dari dunia ini.”
Lalu raja bertanya : “Apakah yang engkau minta itu?”
Anak itu menjawab : “Tuanku arahkan rakyat berkumpul di satu tempat. Kemudian naikkan aku ke atas kayu palang (salib), lalu Tuanku ambil satu anak panah kepunyaanku sendiri dari dalam busurnya. Kemudian Tuanku bidik aku dengan tepat, lalu baca : “Dengan nama Allah, Tuhan anak kecil ini.” Dengan melakukan demikian barulah Tuanku dapat membunuhku.
Permintaannya dilakukan oleh raja, diambil anak panahnya dari busurnya lalu mengucapkan: “Dengan nama Allah, Tuhan anak kecil ini” lalu dipanahnya anak kecil itu, kena tepat pada jantungnya dan terkulailah kepalanya, sedang tangannya memegang pangkal panah yang telah tersisip di dadanya dan diapun matilah. Tiba-tiba terkeluar dari mulut seluruh orang yang hadir: “Kami beriman dengan Tuhan anak kecil ini”
Gempitalah suara di tanah lapang itu menyatakan iman kepada Tuhan Allah yang dipercayai oleh anak kecil itu. Maka berbisiklah seseorang kepada raja : “Tidakkah Tuanku perhatikan? Bukankah apa yang Tuanku takuti selama ini telah terjadi? Budak kecil itu mati tapi semua orang telah menganut ajarannya?,”
Sangat murkalah raja apabila melihat manusia telah berbalik arah. Lalu raja memerintahkan menangkap orang-orang yang terang-terang menyatakan percaya kepada Tuhan anak kecil itu, dan baginda mengarahkan lubang-lubang atau parit-parit besar digali. Dan diancamlah orang: “Barangsiapa yang masih berpegang kepercayaan anak kecil itu, akan dimasukkan ke dalamnya dan dibakar. Dan barangsiapa yang kembali kepada agama pusaka nenek moyang mereka akan selamat.”
Mendengar itu, tidaklah mereka mundur, malahan mereka berduyun-duyun mendekati lubang yang ternganga menunggu giliran dibakar. Maka adalah diantara mereka itu seorang perempuan yang sedang mendukung anaknya, seketika telah dekat ke pinggir lubang itu, timbul ragu-ragu dalam hatinya. Tiba-tiba berkatalah anak dalam dukungannya itu : “Teguhkanlah hatimu, ibuku! Ibu adalah di dalam agama yang benar,”
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim dan diriwayatkan juga oleh an-Nasa’i dan juga Tirdmizi dari Shuhaib.
Tersebut lagi cerita lain tentang lubang pembakaran itu, iaitu ketika Raja Dzu Nuas beragama Yahudi memaksa penduduk Najran yang telah lama memeluk agama Nabi Isa AS. Setelah raja beragama Yahudi itu menakluki negeri tersebut dipaksa penduduk supaya memeluk agama Yahudi. Orang Nasrani diwaktu itu dibawah pimpinan pendetanya yang sangat tua, sehingga kemanapun berjalan, dia ditandu. Ketika Yahudi menanyai akidahnya, dia menjawab bahawa dia beriman kepada Allah Yang Maha Esa dan beriman kepada syariat Nabi Isa AS dan dia tidak akan merubah kepercayaannya itu. Maka ditangkaplah dia dan para pengikutnya, digali lubang dan dinyalakan api di dalamnya dan dilemparkanlah mereka ke sana. Dan mereka masuk ke dalam lubang itu dengan tidak mengeluh, kerana yakin akan pendiriannya.
Ibnu Katsir menyatakan dalam tafsirnya bahawa penggalian lubang dan pembakaran terhadap orang yang beriman yang teguh pada keyakinannya itu, bukanlah kejadian satu kali, malahan berkali-kali. Ibnu Katsir menyalin keterangan dari dari Ibnu Abi Hatim bahawa penggalian lubang pembakaran itu pernah terjadi di Yaman pada zaman raja-raja Tubba’, di Konstantinople pada zaman Konstantin memaksa orang Nasrani melepaskan kepercayaan mereka yang asli tentang tauhid, dan kejadian yang serupa berlaku juga di Iraq iaitu di negeri Babil dizaman Raja Bukhtinashr (Nabukadnesar) yang membuat berhala dan memaksa orang menyembah berhala itu.
Maka Nabi Danial tidak mahu mengorbankan kepercayaannya kepada Allah Yang Maha Esa bersama kedua temannya yang beriman iaitu ‘Izriya dan Mikhaail. Lalu dibuat lubang dan diunggunkan kayu-kayu kering ke dalamnya dan dimasukkan ketiga-tiga orang beriman itu ke dalamnya. Namun sesampai mereka ke dalam api yang bernyala itu, mereka tetap hidup dengan segar bugar dan keluar dengan selamat. kemudiannya, dimasukkan pula sembilan orang yang dianggap pemberontak kepada raja, semuanya hangus terbakar.
“Petikan dari Kitab Tafsir al-Azhar karangan Almarhum Professor Dr. Hamka” - (dari tafsir surah al- Buruj)
Bandingkan dengan keadaan di Mesir, Syiria, Palestin dan di mana-mana sahaja tempat yang Umat Islam diganyang. Sebenarnya mereka sedang dipaksa “terjun dalam parit yang di dalamnya api sedang menyala-nyala. Sucinya perjuangan mereka jauh meninggalkan kita yang masih terkial-kial dengan ujian yang sedikit. Moga kita juga dikurniakan kekuatan seperti mereka insyaAllah. Wallahua’lam.
http://dunbpayong.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan