28 Ogos 2013

SPR perlu berubah, bukan sekadar setiausaha baru

21 Syawal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli menyambut baik lantikan Pegawai Pembangunan Negeri Selangor, Datuk Abdul Ghani Salleh sebagai Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru.

Dalam pada itu, beliau juga mengharapkan perubahan bukan hanya tertumpu kepada lantikan setiausaha yang baru tetapi kepada keseluruhan SPR agar lebih telus.

"Lantikan setiausaha yang baru itu merupakan proses di dalam pentadbiran apabila ada pegawai yang berpencen, saya menyambut baik lantikan tersebut.

"Apa yang kita inginkan sebenarnya adalah perubahan keseluruhan kepada operasi SPR dan bukan hanya sesetengah jawatan, kita mahukan sebuah pentadbiran yang lebih telus dan adil," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang turut merupakan Ahli Parlimen Kuala Krai meminta agar Abdul Ghani dapat membuat pembaharuan di dalam SPR apabila beliau memegang jawatan tersebut serta melihat setiap pandangan yang telah dikemukakan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini.

Abdul Ghani akan mengambil alih jawatan tersebut daripada Datuk Kamaruddin Mohamed Baria yang telah pun bersara pada 13 Ogos yang berkuatkuasa 19 Ogos lalu.
Harakahdaily/-

Tiada ulasan: