20 Ogos 2013

Mahathir ingat Umno saja boleh majukan negara

13 Syawal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR:Mana-mana kerajaan yang mentadbir Malaysia termasuk Umno sekalipun adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membangunkan rakyat dan negara ini, demikian tegas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad.

"Selama 57 tahun Umno memerintah Malaysia takkanlah mereka langsung tidak boleh membuat perubahan, tidak gunalah Umno menjadi kerajaan yang memerintah," katanya kepada Harakahdaily.

Idris berkata demikian sebagai mengulas kepada surat terbuka bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang berkata tidak mungkin rakyat dapat menikmati kesenangan hidup seperti sekarang tanpa bantuan dari parti pemerintah Umno.

Namun, Idris cukup sedih dengan kenyataan bekas Perdana Menteri itu seolah-olah tidak ada kelas pemikiran kerana bercakap seperti itu.

"Umno sebagai kerajaan ada pelbagai sumber kewangan untuk mentadbir negara termasuk pelbagai bentuk cukai, kerana rakyat tidak bayar cukai kepada pembangkang.

“Kalau pembangkang yang keluarkan kenyataan seperti beliau itu tidaklah berasa pelik. Memberi pembangunan dan kesenangan kepada rakyat sudah menjadi tugasnya," jelas beliau.

Malah katanya, dengan sumber yang ada melalui cukai khazanah negara menjadi perkara biasa dan tidak menjadi pelik kerajaan Umno membangunkan negara kerana cukai yang diperoleh daripada rakyat perlu dikembalikan semula kepada rakyat.

"Keadaan berbeza di negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, nama sahaja memerintah tetapi banyak kekangan yang dibuat oleh kerajaan Pusat. Kerajaan negeri mempunyai sumber yang terhad, tetapi Kelantan berjaya membayar hutang kerajaan sebelum ini satu kejayaan yang baik," katanya.

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam surat terbukanya kepada ahli parti itu, bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata setiap orang Melayu dan penyokong Umno pasti mendapat sesuatu bagi diri mereka.

Beliau juga turut membandingkan kerajaan diperintah Umno dengan negara lain apabila tidak ada kerajaan yang mampu menawarkan seperti mana yang parti itu beri.

"Pergilah ke negara lain yang sama miskin seperti kita dulu, sama dijajah dan sekarang merdeka, lihat keadaan mereka masih miskin, masih tidak bersekolah sehingga rakyat di negara mereka terpaksa berhijrah ke Malaysia demi mencari rezeki kerana kerajaan mereka tidak berjaya memajukan.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: