27 Ogos 2013

Obesiti: Setelah Malaysia jadi juara Asia Tenggara


20 Syawal 1434 H. [MOD] -
SM Mohamed Idris,26 Ogs 2013
Malaysia telah berjaya menjadi juara dalam carta obesiti negara-negara di Asia Tenggara  dan berada pada kedudukan keenam Asia! Dalam keadaan Malaysia perlu menghadapi realiti yang menyakitkan ini, kami di Persatuan Pengguna Pulau Pinang menyambut dengan sokongan sepenuh hati sebarang baik  kerajaan untuk mengatasi masalah ini. 


Melalui Ikrar Pengiklanan Bertanggungjawab yang telah dimeterai  dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pengiklan Malaysia (MAA) dan Persekutuan Pengeluar Malaysia (FMM) Bahagian Pengeluaran Makanan, terdapat sepuluh syarikat yang  mengeluarkan makanan dan minuman telah  bersetuju untuk tidak mengiklankan produk mereka melalui  media elektronik dan media cetak; terutamanya yang mensasarkan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah. Syarikat- syarikat tersebut ialah Coca Cola, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, F&N Dairies ( Malaysia) Sdn Bhd, Guan Chong Cocoa Manufacturer Sdn Bhd, Mars Food Malaysia Sdn Bhd, McDonald’s Malaysia, Mondelez Sales Sdn Bhd, Nestle Products Sdn Bhd, PepsiCo (Malaysia) Sdn  Bhd dan Unilever(Malaysia) Holdings Sdn Bhd.



Tindakan ini kelihatan seperti satu usaha yang murni apabila badan kerajaan bekerjasama dengan syarikat-syarikat ini untuk melindungi kanak-kanak daripada pengiklanan yang tidak bertanggungjawab. Berdasarkan ikrar yang ditandatangani, syarikat-syarikat yang terlibat tidak akan mengiklankan produk mereka yang tidak memenuhi garis panduan nutrisi seimbang antarabangsa dan piawaian keselamatan. 



Mereka juga komited untuk tidak terlibat dalam sebarang promosi di sekolah-sekolah, kecuali atas jemputan sekolah dengan tujuan pendidikan. Tujuan pendidikan yang bagaimana? Pendidikan kesihatan di sekolah-sekolah tidak patut dicemari dengan sebarang unsur-unsur perniagaan dan memberi kepentingan kepada syarikat-syarikat terbabit. Jika pendidikan untuk memilihan makanan berkhasiat, pasti ada organisasi yang lebih berkredibiliti untuk menjalankan tugas ini, iaitu bahagian pendidikan dalam Kementerian Kesihatan sendiri.



Kami mengharapkan lebih daripada sekadar ikrar, iaitu penggubalan polisi dan undang-undang  tegas yang melindungi kanak-kanak daripada pengiklanan yang menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran. Kami mendapati  usaha ini ada sedikit kelompongan – tiada maklumat berkenaan dengan mekanisme pelaksanaan dan pihak yang bakal melakukan pemantauan. Tiada salahnya juga, menyekat terus publisiti melalui media, sepertimana yang telak dilaksanakan di Norway, Sweden, UK, Belgium, Greece dan Denmark.



Pelaksanaan tegas, sepenuh  hati dan menyeluruh



Sweden dan Norway telah menyekat penyiaran iklan  mensasarkan kanak-kanak dibawah umur 12 tahun kerana mereka tidak dapat memahami mesej-mesej pengiklanan dan berkemungkinan menerima mesej pengiklanan sebagai tepat, benar dan tidak bias. 



Malaysia juga telah  mengambil tindakan yang hampir sama pada tahun 2011 dengan menyekat iklan makanan segera dan yang tidak menyihatkan, pada waktu-waktu yang menjadi pilihan kanak-kanak untuk menonton rancangan televisyen.Syarikat makanan segera  juga tidak boleh memberi tajaan untuk rancangan kanak-kanak. Di sebalik usaha ini, satu persoalan yang harus difikirkan semula ialah – adakah  kanak-kanak tidak menonton iklan-iklan ini di waktu lain siaran televisyen?



Usaha untuk menyekat pengiklanan di televisyen ini baik,tetapi kurang berkesan.  Kanak-kanak dibawah umur 12 tahun patut dlindungi daripada menjadi mangsa pengiklan yang tidak bertanggungjawab.Kita patut mencontohi Sweden dan Norway yang menyekat terus semua usaha pengiklanan yang mensasarkan kanak-kanak. Sekatan tersebut termasuklah melalui usaha pengiklanan di surat khabar, radio, majalah, papan iklan dan  internet.



Kerajaan juga perlu melarang penggunakan khidmat selebriti, ahli sukan dan karakter kartun untuk mempromosikan produk-produk yang tidak memanfaatkan kesihatan.



Pelaksanaan di peringkat mikro



Sejak tahun 1980-an, CAP konsisten dengan pendirian – tiada mesin layan diri (vending machine)  yang  mempromosikan minuman yang tinggi kandungan gula dan berkarbonat patut disediakan di sekolah-sekolah.  Kami juga sedar bahawa kawasan sekolah menjadi pusat lambakan makanan rapu, makanan segera, minuman yang mengandungi pewarna tiruan, pemanis tiruan, dan bahan pengawet yang membahayakan.  Adakah Kementerian Kesihatan ada membuat pemantauan di sekolah-sekolah? Seperti mana kempen susu kotak yang dipromosikan kerajaan di sekolah-sekolah, kami berharap kerajaan juga peka dengan usaha untuk menggalakkan sekolah menyediakan buah-buahan segar (terutamanya buah-buahan tempatan), hidangan berasaskan sayur-sayuran, jus buah-buahan asli dan pastikan para pelajar peka dalam pemilihan makanan – kami maksudkan  “MAKANAN”.



Ibu bapa turut bertanggungjawab untuk menyelamatkan anak-anak daripada terperangkap dalam budaya makan kerana iklan. Kami faham, ada masanya ibu bapa menuruti kehendak anak-anak sebagai tukar ganti dengan masa terhad yang mereka dapat luangkan dengan anak-anak. Namun, ibu bapa juga harus sedar yang anak-anak mereka tidak memahami kaedah pemujukan di dalam iklan. Selalunya, produk yang  mensasarkan kanak-kanak ialah gula-gula, bijirin yang tinggi kandungan gula, minuman berkarbonat dan makanan segera. Iklan-iklan ini mampu mempengaruhi tabiat makan yang tidak sihat - sepanjang hayat.



Jika ada iklan yang mempromosikan makanan segera atau gula-gula, terangkanlah tujuan pengiklanan dalam bahasa yang paling mudah. Ajar anak-anak untuk mencintai masakan daripada rumah. Masak, budayakan membawa bekalan makanan daripada rumah ke sekolah, dan biar anak-anak gembira berkongsi bekalan makanan dengan kawan-kawan mereka.



Mudah dan susah



Saranan-saranan ini saling berkait. Pilihan untuk  memasak atau membeli makanan  segera boleh menceritakan pelbagai  realiti; ekonomi, politik dan sosial. Keputusan untuk terus menayangkan dan menyokong publisiti makanan rapu dan makanan segera  atau mempromosikan makanan seimbang, berkhasiat dan selamat juga boleh menceritakan pelbagai perkara – negara pentingkan kesihatan rakyat  atau keuntungan syarikat-syarikat perusahaan besar.

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Tiada ulasan: