27 Ogos 2013

PAS anjur Seminar Perlaksanaan Syariah Islam


20 Syawal 1434 H. [MOD] -

Harakahdaily,27 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat dengan kerjasama Dewan Ulamak PAS Pusat akan menganjurkan satu program bertajuk 'Seminar Perlaksanaan Syariah Islam Di Malaysia: 56 Tahun Merdeka-Halangan dan Penyelesaian’.

Ketua  Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, seminar itu diadakan ialah untuk memberi kefahaman mengenai Syariah Islam yang luas sebagai satu sistem dalam perundangan negara.

Tambahnya, ia juga untuk memberi kefahaman dan penekanan hikmah perlaksanaan Syariah Islam bagi memelihara agama, keturunan, akal, maruah dan harta. 

Di samping itu, ujarnya seminar itu ingin memberi penjelasan terhadap persoalan-persoalan yang mengelirukan mengenai syariah Islam, mencari jalan persefahaman dan penyelesaian ke arah perlaksanaan Syariah Islam dalam konteks demokrasi di negara ini, dan mendedahkan kepincangan dan kegagalan undang-undang manusia dalam menyelesaikan permasalahan jenayah.

Katanya lagi, seminar penting itu akan diadakan pada 5 Oktober depan di Shah Alam. 

Menurutnya, seminar itu mensasarkan penyertaan ahli-ahli jawatankuasa PAS, PKR dan DAP di peringkat pusat dan negeri, wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat peringkat Parlimen dan Dun, pegawai-pegawai kerajaan, ahli-ahli akademik, NGO-NGO Islam dan bukan Islam serta pelajar-pelajar.

“Program ini akan dimulakan dengan ucaptama perasmian oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,” jelasnya dalam satu kenyataan. 

Beliau menambah, pembentang dan pengulas dalam seminar itu nanti terdiri daripada pelbagai bidang yang berkaitan dengan tajuk seminar meliputi ahli akademik, ahli undang-undang dan sebagainya. 

“Semoga program ini mampu  menghasilkan sesuatu yang terbaik, sebagai jawapan kepada segala kemelut jenayah yang berlaku dalam negara kita pada hari ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: