27 Ogos 2013

Kudeta terus buru pimpinan Ikhwan Muslimin


20 Syawal 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,27 Ogs 2013
MESIR: Kerajaan Kudeta Mesir meneruskan tindakan memburu pemimpin Ikhwan Muslimin dan terbaru bekas Menteri Belia Dr Osama Yasin ditangkap semalam.


Osama ditangkap bersama dengan dua ahli Ikhwan Muslimin yang lain di sebuah vila di Penempatan Kelima, timur Kaherah. 



Difahamkan salah seorang daripada dua ahli Ikhwan tersebut adalah pembantu kepada Timbalan Mursyidul Am Ikhwan Khairat al-Shater.



Osama bakal berdepan tuduhan "menghasut keganasan dan pembunuhan" yang berkaitan dengan pertempuran di luar ibu pejabat Ikhwan di Kaherah pada awal tahun ini.



Penahanan beliau turut disahkan anaknya, Ahmed melalui Twitter.



"Saya kini menunggu gambar ayah saya kerana dia telah ditangkap oleh tentera rampasan kuasa, bukan untuk memastikan berita tersebut, tetapi untuk memberi jaminan tentang dia kerana saya tidak pernah melihat beliau untuk masa yang lama," katanya.



"Selepas mendapat kepastian tentang berita penangkapan ayah saya, sekarang ini saya menunggu gambar yang memaparkan wajahnya tersenyum. Ya Allah teguhkanlah dirinya " tulis beliau lagi.



Dikatakan semua pemimpin Ikhwan Muslimin yang ditangkap oleh penguasa zalim kudeta membawa gambar mereka bersama bagi meneguhkan hati para revolusi di setiap tempat.



Ahad lalu, Mahkamah Jenayah Kaherah menangguhkan perbicaraan ke atas tiga pemimpin Ikhwan hingga 29 Oktober memandangkan ketiadaan defendan.



Mereka adalah Mursyidul Am Ikhwan Mohamed Badie dan dua timbalannya, Rashad al-Bayoumi dan Al-Shater, menghadapi tuduhan yang sama seperti Osama.

Tiada ulasan: