05 Ogos 2013

PAS fail rayuan terhadap petisyen yang ditolak

27 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PAS hari ini memfailkan rayuan ke atas enam petisyen yang tolak melibatkan empat kawasan parlimen dan dua bagi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Kawasan tersebut adalah Parlimen Kuala Selangor, Sungai Besar, Titiwangsa dan Pulai di Johor.

Manakala bagi kawasan Dun pula melibatkan Manjoi, Perak dan Selising di Kelantan.

Peguam Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi yang dihubungi memberitahu pihaknya telah memfailkan rayuan tersebut di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini.

"Kita telah bermesyuarat semalam dan keputusan telah diambil untuk memfailkan rayuan beberapa kawasan petisyen yang telah ditolak.

"Hari ini kita telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi enam kawasan iaitu melibatkan empat bagi parlimen dan dua Dun," jelasnya kepada Harakahdaily.

Jelasnya lagi, dari 16 petisyen yang dikemukakan 12 daripadanya telah ditolak dan masih ada empat petisyen yang belum didengari serta dibuat keputusan.

Ketika ditanya mengenai keputusan PAS yang ingin membuat laporan polis berhubung kesalahan pengisian di dalam Borang 14 oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM).

Jelasnya, laporan tersebut akan dilakukan selepas cuti Hari Raya nanti.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: