05 Ogos 2013

Rebat PLUS untuk pengguna lebuh raya bayar secara elektronik

27 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pengguna lebuh raya PLUS akan menikmati rebat 20 peratus apabila membayar tol menggunakan sistem elektronik sempena cuti Aidilfitri dan Merdeka pada lima tarikh terpilih di semua plaza tol kecuali empat. 


Rebat itu diberikan pada hari ini, esok dan pada 14, 15 dan 31 Ogos, namun tidak ditawarkan di plaza tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan jambatan Pulau Pinang, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PLUS Malaysia Berhad, Datuk Noorizah Abdul Hamid. 


Rebat akan diberikan kepada orang ramai yang menggunakan kad PLUSMiles, Touch'n Go atau SmartAG dan ia boleh dituntut di semua pusat khidmat pelanggan PLUS bermula 16 Sept hingga 15 Dis tahun ini, katanya dalam satu kenyataan. 

Noorizah berkata, langkah itu bagi menghargai pengguna dan menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem pembayaran secara elektronik yang lebih mudah dan pantas. 

Ia juga adalah langkah untuk mengagihkan trafik dan menggalakkan orang ramai bergerak pada hari-hari di luar waktu puncak, katanya. 

Noorizah berkata, berdasarkan kajian ke atas trend perjalanan semasa musim perayaan sebelum ini, PLUS menjangkakan jumlah trafik di Lebuhraya Utara Selatan meningkat sebanyak 30 peratus kepada 1.4 juta kenderaan setiap hari sempena cuti Aidilfitri dan sambutan Hari Kemerdekaan. 

- BERNAMA

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

pandai betul PLUS nak putar belit... agak2 ada ker orang nak tuntuk rebat 2 ker 3 ringgit dan beratur panjang pula di pusat khidmat PLUS???