02 September 2013

Mengapa TPPA perlu dibantah (2)

26 Syawal 1434 H. [MOD] -
Anas Alam Faizli,02 Sep 2013
Masalah Cukai Ekport

Cukai ekport dikenakan kepada pengekport barangan utama. Cukai ini berfungsi melalui dua cara; menaikkan pendapatan kerajaan dan membangunkan industri perantara tempatan. Cukai ekport menaikkan harga bahan mentah dalam pasaran ekport menyebabkan produk akhir yang dihasilkan oleh pasaran tempatan lebih murah dan kompetitif berbanding produk yang dihasilkan oleh pasaran luar. TPPA mahu mengubah perkara ini.


Dengan mengurangkan atau menghapuskan cukai ekport, negara seperti Malaysia yang sebahagian besar eksportnya masih barangan mentah, akan menyaksikan negara-negara rakan TPPA menikmati sumber-sumber kita dengan harga yang jauh lebih murah, seterusnya membunuh pengeluar industri perantara tempatan seperti pembekal kelengkapan teknologi dan perabot, industri penapisan kelapa sawit dan pengeluar produk tani dan makanan. Tidak keterlaluan jika saya katakan potensi kesan ini hampir sama dengan tindakan penjajah mengambil segala sumber kekayaan asli kita satu ketika dahulu!

Mitos Perdagangan dan FDI


Kembali kepada isu perdagangan, jangkaan manfaat yang diperoleh daripada menandatangani FTA dengan Amerika akan terlihat melalui pendapatan yang tinggi dalam faedah perdagangan. Bagaimana sebuah negara yang secara relatifnya mempunyai kekuatan ekonomi yang lebih kuat seperti Singapura, menyaksikan peningkatan pula dalam defisit perdagangan bermula dengan USD 1.4 bilion pada 2003 apabila mereka menandatangani perjanjian, kepada USD 4.3 bilion pada 2004, USD 6.9 bilion pada 2006 kepada USD 10.5 bilion pada 2012.

Menurut laporan United Nations, tiada bukti atau korelasi yang menunjukkan peningkatan pelaburan asing (FDI) yang berkualiti daripada perjanjian-perjanjian perdagangan dua-hala selama ini. Benar, jika kita tidak menyertai TPPA, kemungkinan trade diversion atau perdagangan yang ‘lari’ daripada Malaysia kepada negara-negara TPPA tidak dapat dinafikan. Namun kerugian daripada trade diversion ini haruslah jelas dan dipastikan mempunyai manfaat yang lebih besar berbanding pelbagai musibah dan kerugian yang dibawa oleh TPPA kepada aspek-aspek lain ekonomi negara.

Protes Dunia kepada FTA Amerika


Bukan asing negara seluruh dunia memprotes perjanjian FTA dengan Amerika. Di Guatemala, dua orang mati berdemonstrasi, dan rakyat Guatemala mengheret kerajaan ke mahkamah kerana dakwaan FTA terbabit mencabuli hampir 130 akta dalam perlembagaan Guatemala. Di Ecuador pula, darurat diisytiharkan kerana demonstrasi besar-besaran. Ketua rundingan Thailand dan Colombia pernah meletakkan jawatan kerana protes hasil rundingan dengan Amerika. Di Korea Selatan, seorang membakar dirinya sendiri sehingga mati bagi memprotes FTA dengan Amerika, yang hanya diluluskan oleh Parlimen selepas kerajaan pemerintah mengurung pihak pembangkang.

Negara seperti Argentina, Bolivia, Brazil, Paraguay, Uruguay, Venezuela, Afrika Selatan, Botswana, Lesotho, Namibia dan Swaziland juga sebelum ini terlibat dalam rundingan dengan Amerika untuk FTA tetapi kesemua rundingan itu gagal tanpa ditandatangani.

Di Malaysia, Third World Network (TWN) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bergerak di hadapan menentang isu FTA Amerika-Malaysia sejak 2008, dan melanjutkan penentangan terhadap TPPA. Usaha lebih menonjol juga muncul kebelakangan ini untuk menyentuh isi rundingan TPPA melalui sebahagian bab yang tertiris kepada pengetahuan orang awam. Pada 6 Jun 2013, YB Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan akhbar mempersoalkan kerahsiaan rundingan TPPA dan bertanyakan soalan penting; adakah Malaysia merancang untuk menggadaikan kedaulatan negara hanya untuk tujuan perdagangan bebas? Mewakili Pakatan Rakyat, beliau secara konsisten dan gigih telah memberikan tekanan yang membawa kepada penubuhan parliamentary caucus dan peningkatan penglibatan daripada MITI.

Pada masa yang sama, momentum penentangan terus dibina oleh badan bukan kerajaan seperti BLINDSPOT, MTEM, MAC, MTUC, GBM, IKRAM yang terus-menerus mengadakan forum awam untuk meningkatkan kesedaran awam. Usaha ini menggalakan orang awam untuk menuntut hak bersama daripada kerajaan dalam rundingan. Profil ternama seperti Tun Mahathir dan Liow Tiong Lai juga secara terbuka memberikan penentangan kepada TPPA yang menuntut perhatian rakyat dalam isu ini.

Badan Bertindak Bantah TPPA (BANTAH TPPA)


Badan Bertindak Bantah TPPA, atau dikenali dengan nama ringkas BANTAH TPPA, ialah gabungan 52 badan bukan kerajaan dan tujuh Jawatankuasa Bersama yang dibentuk untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap TPPA bagi memastikan Malaysia memperoleh manfaat terbaik daripada TPPA. Kami berpendapat TPPA ini wujud di tengah-tengah harapan sebilangan kecil syarikat multinasional yang mencari keuntungan komersial hasil daripada bab-bab dalam rundingan, dan juga kebimbangan besar organisasi-organisasi masyarakat sivil yang mewakili rakyat 12 buah negara dalam TPPA. Hakikatnya, TPPA bukanlah suatu FTA yang mempromosikan perdagangan bebas semata-mata, kerana ia memelihara kepentingan syarikat gergasi dalam industri terpilih. TPPA bertujuan memastikan perlindungan dan kepentingan korporat yang mengatasi kebajikan awam, keselamatan dan kepentingan sosio-ekonomi negara-negara yang ekonominya jelas lemah berbanding gergasi ekonomi dalam rundingan ini, yakni Amerika.

Perlu diingatkan bahawa Amerika dibantu oleh jawatankuasa penasihat khas terdiri daripada 1,000 orang pakar. Kami menuntut yang sama untuk Malaysia. Satu kajian oleh UNDP tidak mencukupi untuk meyakinkan orang awam bahawa kehidupan kami dan anak cucu kami tidak terancam. Melihat kepada rekod, Malaysia bukanlah pakar yang mahir dalam rundingan, kehilangan Blok L dan M, perjanjian berat sebelah air dengan Singapura, dan Pulau Batu Putih, sekadar menjadi contoh. Pasukan perunding daripada MITI semata-mata tidak boleh dibiarkan menentukan nasih seluruh rakyat Malaysia.

Akhirnya, BANTAH TPPA menuntut supaya Kerajaan Malaysia menggantungkan rundingan atau keluar daripada TPPA sehinggalah sebuah kajian menyeluruh analisis kos dan faedah serta kajian perbandingan dilakukan, dihebahkan kepada umum dan dibincangkan oleh semua pihak di Malaysia, teks rundingan dibentangkan, dianalisis dan dinilai oleh parlimen untuk memastikan bahawa rundingan TPPA yang dijalankan memihak kepada kedudukan dan kepentingan Malaysia, dan kebimbangan mengenai pelbagai isu dimasukkan dalam  pendirian dan dibincangkan  dalam rundingan TPPA; serta akhirnya satu referendum popular dilakukan untuk menentukan sejauh mana rakyat Malaysia menyokong kerajaan mereka untuk menandatangani dan meratifikasikan TPPA.

Kami menuntut supaya kerajaan mengamalkan pendirian telus dalam hal ini dan semua kebimbangan pelbagai pihak berkepentingan dalam kalangan rakyat Malaysia dipertimbangkan dalam pusingan rundingan. Jika tidak, tarik diri daripada rundingan TPPA secara berhemah. Garis panduan tentang faedah-faedah perjanjian FTA yang hanya teori-teori buku teks tidak mencukupi; TPPA mungkin kelihatan seperti perjanjian FTA di atas kertas, tetapi hakikat pelaksanaannya menunjukkan impak lebih besar kepada kedaulatan negara.

Perhatian dan empati diperlukan daripada masyarakat sivil, ahli akademik, pakar dan pengamal industri malah orang awam yang prihatin terhadap masa depan Malaysia mesti mencari maklumat, cuba memahami, bersuara dan menulis bagi menyumbang kepada usaha kita untuk menuntut yang terbaik daripada rundingan. Jika tidak, lebih baik ucapkan selamat tinggal kepada Amerika dan cabut lari sebelum terlambat.

*Anas Alam Faizli ialah profesional dalam industri minyak dan gas. Beliau sedang menyambung pengajian peringkat kedoktoran, pengasas bersama BLINDSPOT dan BANTAH TPPA, tweet di @aafaizli

Tiada ulasan: