26 September 2013

PAS Pusat rakam takziah buat keluarga Ustaz Azizan


19 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,26 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS Pusat merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, mantan Menteri Besar Kedah yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 11.10 pagi ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar bagi parti dan rakyat negeri Kedah khususnya. 

“Beliau merupakan Ahli Majlis Syura telah berjaya memimpin parti sehingga berjaya menawan negeri Kedah dalam PRU ke-12,” ujarnya dalam satu kenyataan, selanjutnya sebagaimana di bawah.

Kesihatan beliau mulai merosot dalam kempen menghadapi PRU13 dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang bagi menjalani pembedahan dan kaki beliau terpaksa dipotong. 

Namun, kesihatan beliau mulai pulih sehingga beliau dibawa pulang ke Kedah, namun dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah Alor Setar. 

Kegagalan PAS mengekalkan kemenangan di Kedah merupakan suatu tamparan besar bagi parti. 

Beliau masih sempat berpesan kepada Datuk Muhriz, Menteri Besar baru agar mempastikan Kolej Insaniah dapat dijaga dan dijayakan. 

Beliau sepanjang menjadi Menteri Besar banyak menumpukan usaha membangunkan kolej tersebut di samping pelbagai kemajuan yang telah dilaksanakan. 

Kematian beliau akan membuka ruang bagi mengadakan satu pilihanraya kecil bagi Dun Sungai Limau. Parti akan menghadapi PRK ini dalam suasana persiapan menghadapi muktamar. Dengan PRK ini diharap akan memperkukuh lagi jentera parti bagi memastikan kejayaan.

Semoga Allah mencucuri rahmat kepada rohnya. Al-Fatihah.

Tiada ulasan: