9 Muharram 1435H. [MOD] -
KARO, Sumatera Utara 12 Nov. - Kira-kira 4,300 penduduk di enam perkampungan di wilayah Karo, di sini dipindahkan ke pusat perlindungan sementara ekoran ancaman debu dan lahar yang dihamburkan oleh Gunung Sinabung, semalam.
Antara enam perkampungan tersebut termasuklah Kuta Gugung, Simacem, Bekerah, Suka Meriah, Mardinding dan Gurukinayan.
Proses pemindahan itu dilakukan oleh pasukan keselamatan termasuk polis serta tentera Indonesia, selain pihak pentadbiran tempatan memindahkan seramai 2,500 penduduk di Gurukinayan.
Jurucakap pihak berkuasa di Karo, Jhonson Tarigan berkata, penduduk di Gurukinayan dipindahkan kerana kedudukan perkampungan itu yang terletak kira-kira empat kilometer dari Sinabung.
"Kerajaan membuat keputusan untuk tidak membenarkan penduduk terus tinggal di kediaman mereka ketika debu yang dikeluarkan Sinabung mula sampai ke kawasan perkampungan.
"Selain debu, Sinabung turut mengeluarkan aliran lahar dan kepulan gas panas,' katanya.
Tarigan menjelaskan, Sinabung meletus sebanyak dua kali semalam pada pukul 6.14 pagi waktu tempatan (7.14 pagi waktu Malaysia) dan 7 pagi (8 pagi waktu Malaysia).
"Letupan pertama lebih kuat berbanding yang kedua sehingga menghamburkan debu setinggi 4,000 meter ke udara, diikuti kepulan gas panas.
"Lahar direkodkan mengalir sejauh 500 hingga 1,000 meter daripada kawah Sinabung," ujarnya.
Sehubungan itu, pentadbiran Karo mengisytiharkan darurat di wilayah ini sejak Sinabung mula meletus pada 5 November lalu. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan