13 November 2013

‘Wanita Kelantan menutup aurat, tergerak hati saya’

9 Muharram 1435H. [MOD] -
Harakahdaily/-
KOTA BHARU: "Saya menghantar anak saya ke Pasti kerana saya merasakan bahawa pendidikan agama yang menjamin masa depan anak saya," kata Maria Solastri, seorang warga negara Indonesia beragama Kristian yang menghantar anak lelakinya di sebuah Pasti dalam kawasan Kota Bharu.

Beliau dijemput berucap berkongsi pengalaman dalam Majlis Ihtifal Pasti Al-Bhaidha' Kampung Puteh, dekat sini yang dirasmikan oleh Adun Bunut Payong, Dr Ramli Mamat.

Suami Maria berbangsa Tionghua berasal dari Johor dan sekarang menetap di Kelantan.

Menurut beliau lagi, kehidupannya sebelum ini seperti penganut Kristian lain yang hidup dalam keadaan sosial dan berpakaian tidak menutup aurat.

"Tetapi apabila saya datang ke Kelantan dan melihat wanita Kelantan menutup kepala dan aurat sempurna, tergerak hati saya untuk melakukannya.

"Apabila saya berpakaian seperti ini saya dapat merasa suatu ketenangan yang belum pernah saya rasa," ujarnya yang memukau perhatian yang hadir.

Sebelum itu Dr Ramli dalam ucapannya berkata bahawa kurikulum yang digubal dan digunakan oleh Pasti mendapat pengiktirafan antara kurikulum pendidikan pra sekolah yang terbaik dalam negara.

Majlis Ihtifal Pasti Al-Bhaidha' yang berusia setahun itu turut diserikan dengan pertandingan mewarna hampir 50 orang kanak-kanak, pelbagai persembahan, pertandingan fesyen dan cabutan bertuah.

Tiada ulasan: