8 Muharram 1435H. [MOD] -
MANILA (Filipina): Ribut tropika dikenali sebagai Zoraida mula menghampiri kawasan Mindanao, selatan Filipina, lapor media tempatan, The Philippine Star hari ini.
Biro Kaji Cuaca negara itu menasihatkan penduduk di kawasan Mindanao dan bahagian selatan wilayah Visayas supaya bersiap sedia menghadapi taufan gelombang kedua selepas Taufan Haiyan, Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Pentadbiran Atmosfera, Geofizik dan Perkhidmatan Astronomi Filipina, Rene Paciente, berkata Zoraida dijangka membadai wilayah Surigao del Sur atau Davao petang ini.
Sementara itu, menurut Jabatan Kaji Cuaca Filipina, Zoraida dijangka bergerak ke arah barat laut dalam tempoh 24 jam dan beralih ke arah barat negara itu dalam tempoh 48 jam.
“Mengikut jangkaan, Zoraida akan membadai sepanjang sempadan Surigao del Sur dan Davao Oriental melintasi Agusan del Sur, Bukidnon dan Misamis Oriental petang ini sebelum merentasi Laut Mindanao dan seterusnya ke Laut Sulu,” katanya.
Setakat jam 11 pagi tadi (waktu tempatan) 21 wilayah di selatan Filipina diletakkan sebagai amaran berjaga-jaga.
Zoraida adalah ribut tropika ke-25 yang melanda Filipina tahun ini dan gangguan cuaca kedua pada November.
Sehingga jam 4 petang, ia dikesan kira-kira 634 kilometer di tenggara Hinatuan, Surigao del Sur dengan kelajuan angin sebanyak 55 kilometer sejam. - The Philippine Star
Tiada ulasan:
Catat Ulasan