12 November 2013

Bas rombongan sekolah terbalik

8 Muharram 1435H. [MOD] -

SEREMBAN - “Saya ingatkan kakak ipar telefon nak bagitahu mereka sudah sampai, tapi rupanya ada berita buruk," kata Edwin Anthony, 36.

Edwin merupakan suami kepada R.Vijaya, 33, salah seorang mangsa kemalangan di Kilometer 46.4 Lebuh Raya Elite, berhampiran susur masuk Lebuhraya Utara - Selatan, menghala ke Seremban, dekat sini semalam.


Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, seramai 19 guru dan murid dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Serkam, Merlimau, Melaka termasuk beberapa penjaga cedera ringan selepas bas rombongan dinaiki mereka tiba-tiba hilang kawalan, lalu terbalik ke kiri jalan.

Menurut Edwin, isteri dan kakak iparnya mengikuti rombongan sekolah anaknya berumur tujuh tahun ke Langkawi yang bertolak pada malam Jumaat lalu.

“Sebelum kejadian, isteri menghubungi meminta saya menjemputnya di Tol Ayer Keroh kerana bas rombongan akan berhenti di situ.

“Ketika saya sedang menunggu di tol kira-kira 1 pagi, kakak ipar menghubungi memberitahu bas dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dan isteri saya dimasukkan ke hospital akibat cedera pada tulang belakang,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar, di sini, semalam.

Edwin berkata, isterinya memberitahu, sebelum kejadian dia tidur dan terjaga apabila badannya berasa sakit selepas tercampak ke bahagian kiri dalam bas.

Menurutnya, walaupun isterinya masih terkejut dengan kejadian itu, namun dia bersyukur kerana anaknya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd Yusoff Awang berkata, bas dinaiki 40 murid, guru dan beberapa penjaga itu dalam perjalanan pulang dari Langkawi menuju ke Melaka.

Bagaimanapun, katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian, bas terbabit dipercayai hilang kawalan ketika menghampiri susur masuk menuju ke Lebuhraya Utara - Selatan, lalu terbabas dan terbalik di tepi jalan.

"Manakala sebuah lori yang membawa muatan sayur-sayuran yang berada di bahagian belakang turut terbabas dan terbalik apabila cuba mengelak daripada melanggar bas berkenaan.

"Kejadian itu mengakibatkan 19 penumpang bas dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala seorang penjaga dimasukkan ke dalam wad akibat mengalami cedera pada bahagian tulang belakang,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, namun dipercayai berlaku disebabkan pemandu bas terbabit keliru berikutan lokasi kejadian mempunyai dua susur untuk ke Kuala Lumpur dan Seremban.

-Sinar Harian/-

Tiada ulasan: