12 November 2013

Pengganas: The Star biadap, tarik balik laporan

8 Muharram 1435H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Akhbar The Star hari ini memetik nama Almarhum Ibrahim Libya dan mendakwa beliau salah seorang pengganas yang berjaya ditumpaskan oleh pihak berkuasa pada 19 November 1985. 

Di bawah tajuk Major Cases Involving Violant Deviant Groups in MalaysiaAlmarhum Ibrahim Libya disenaraikan bersama pengganas dan kumpulan ajaran sesat yang lain iaitu kumpulan Imam Mahadi, Al-Ma'unah dan Tuhan Harun.

Laporan itu mendapat kecaman daripada Pemuda PAS Malaysia dan Pemuda PAS Kedah yang menyifatkan The Star telah menghina Tuanku Sultan Kedah Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah yang pernah mencemar duli menziarahi kubur almarhum Ustaz Ibrahim Libya. 

Malah menurut Ketua Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria, laporan akhbar terbabit telah menggambarkan tahap mentaliti pemilik akhbar yang semakin memualkan. 

"Petikan itu adalah satu provokasi untuk mewujudkan satu ketegangan agama di dalam negara dan di kalangan masyarakat.

"Petikan dan siaran itu adalah sesuatu yang amat jahat dan tidak beretika," katanya kepada Harakahdaily.

Tegasnya Dewan Pemuda Kedah, menuntut pihak The Star menarik balik dan memohon maaf segera kepada seluruh umat Islam dan ahli keluarga yang terlibat dalam isu Memali ini. 

"Kita tidak teragak-agak akan membuat membuat laporan Polis dan dalam masa tiga hari sekiranya tiada tindakan daripada The Star.

"Kami akan memohon mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyampaikan memorandum bantahan kerana baginda adalah Ketua Agama Islam Malaysia," katanya.

Sementara itu, AJK Dewan Pemuda PAS Malaysia, Suhaizat Kaiat dalam satu kenyataan menyifatkan tuduhan tersebut tidak tepat dan biadap.

Ini kerana peristiwa Memali yang dimaksudkan oleh The Star adalah peristiwa yang masih gagal disabitkan sebagai aktiviti pengganas melibatkan Almarhum Ust Ibrahim Libya sebagai pemimpin masyarakat di situ.

"Bahkan sejarahwan dan pengamat politik di Malaysia sendiri sebahagiannya menyatakan tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa melalui arahan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir ketika itu sebagai perdana menteri sebagai memiliki agenda tersembunyi," katanya.

Bahkan katanya, fakta sejarah sendiri telah menyaksikan bahawa status Almarhum Ibrahim Libya dan beberapa rakannya yang ditembak sebagai syahid dan turut disahkan oleh ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah, Tuan Guru Haji Yahya Junid dan Ustaz Azahari Abd Razak ketika itu.

Justeru, tegas Suhaizan untuk meletakkan kedudukan Almarhum Ibrahim Libya sebagai pengganas di Malaysia seperti mana dilaporkan The Star adalah tidak bertanggungawab dan biadap sama sekali khususnya kepada ahli keluarga dan kebanyakan rakyat yang mengenali Almarhum.

"Bahkan, kes Memali yang telah beberapa kali dibawa ke mahkamah ini masih gagal diputuskan kedudukannya sehingga ke hari ini," katanya.

Justeru, beliau  mendesak The Star menarik balik berita tersebut dan memohon maaf terbuka kepada seluruh ahli keluarga dan kenalan Almarhum.

"Saya tidak teragak-agak untuk memobilisasi rakyat seramai mungkin untuk menyatakan bantahan ini sekiranya tiada sebarang tindakan tarik balik dan permohonan maaf dibuat oleh The Star," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: