SINGAPURA 12 Nov. - Seorang lelaki Singapura hari ini didakwa kerana menggodam laman web majlis daerah dan memuat naik satu simbol yang dikaitkan dengan kumpulan penggodam antarabangsa,
Anonymous.
James Raj, 35, didakwa kerana menggodam laman web Majlis Daerah Ang Mo Kio yang diwakili Ahli Parlimen kerajaan, pada 28 Oktober lalu serta memuat naik gambar topeng Guy Fawkes, yang mewakili imej Anonymous.
Penggodaman itu berlaku tiga hari sebelum jurucakap yang mendakwa mewakili kumpulan Anonymous itu muncul dalam sebuah video pada 31 Oktober bagi menuntut pemansuhan undang-undang baharu yang mewajibkan portal berita supaya mendapatkan lesen tahunan terlebih dahulu.
Kertas pertuduhan itu bagaimanapun tidak menyatakan kaitan secara langsung antara Anonymous dan Raj, yang juga berhadapan dengan tuduhan dadah.
Menurut kertas pertuduhan itu, Raj menggelar dirinya sebagai 'The Messiah' dan melakukan pencerobohan siber itu dari sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur.
Nama sama juga digunakan oleh seorang individu yang menggodam blog seorang wartawan pada laman web akhbar Straits Times pada 1 November lalu.
Raj juga dituduh memuat naik sepanduk pada laman web majlis daerah yang menyatakan satu daripada Ahli Parlimennya telah menyerahkan surat peletakan jawatan.
Dia didakwa mengikut Akta Keselamatan Siber dan Penyalahgunaan Komputer yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum S$10,000 (RM25,513) dan penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan