Ahmad Baei Jaafar
Tiba-tiba sahaja saya teringat kepada surah al-Maun yang bermaksud:
1. Tahukah engkau tentang orang yang menafikan agama?
2. Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,
3. dan dia tidak mendorong ke arah memberi makanan kepada yang miskin.
4. (Meskipun dua golongan ini melakukan solat), maka kecelakaan besar bagi yang solat itu.
5. Mereka meskipun solat lalai tanggungjawab sebenar;
6. bahkan mereka suka meuar-uarkan (ibadat atau sumbangannya),
Surah ini selalu dikaitkan dengan orang yang riak dan orang yang lalai dalam solatnya. Tetapi apabila saya baca balik berkali-kali, saya pasti mesej sebenar daripada surah itu kurang diberi penekanan atau kurang difahami. Bukan bertujuan mengajar tafsir tetapi lebih kepada mengambil mesej Allah untuk menyelamatkan diri kita daripada dimasukkan ke dalam neraka.
Terlebih dahulu saya mohon rakan-rakan membaca dan memahami makna setiap ayat dalam surah al-Maun di atas. Tetapi maafkan saya, jangan bandingkan makna ini dengan yang ada dalam al-Quran Terjemahan. Saya tidak mahu kita pening dengan bahasa yang masih terikat dengan bahasa ulama pondok. Namun saya pasti terjemahan ini lebih tepat dengan penggunaan bahasa Malaysia kini dan lebih hampir kepada mesej Allah.
Allah menanya umat Islam, adakah kita tahu siapakah golongan yang menafikan agama. Apakah maksud menafikan agama? Makna mudahnya, menafikan peraturan agama, menafikan pemantauan Allah, menafikan hukuman Allah dan menafikan ganjaran Allah. Dia sebagai orang Islam tidak menafikan Islam, tetapi dia sanggup menindas anak yatim dan menghalang buat kebajikan kepada orang miskin. Tindakan itu seolah-olah dia percaya tidak ada peraturan agama, tidak ada pemantauan Allah, tidak ganjaran dosa atau pahala.
Ayat ke 4 yang selalu disebut Neraka Wail bagi yang melakukan solat itu sebenarnya merujuk kepada dua golongan di atas bukan kepada golongan yang lalai dan riak. Maknanya dua golongan ini adalah orang yang solat, buat ibadah dan buat kebajikan, dalam membela anak yatim dia ambil kesempatan menzalimi dan mendera mereka. Begitu juga dalam menyumbang kebajikan kepada golongan miskin, dipilih dalam kalangan yang boleh menguntungkannya. Maka dengan sebab itu mereka layak dicampakkan ke dalam neraka Wail.
Penghuni neraka ini Allah jelaskan tiga cirinya agar kita jauhi iaitu:
1. Lalai tanggungjawab sebenar. Orang yang solat seharusnya berdisiplin dan amanah terhadap tanggungjawab dalam agama dan masyarakat. Kalau mereka ingat Allah tetapi lupa kepada manusia bermakna mereka lalai. Kalau mereka ingat manusia tetapi lupa kepada Allah maka dia juga lalai.
2. Suka meuar-uarkan, menghebahkan, mencanangkan kebaikannya. Hari ini dia buat rumah anak yatin, esok dia buat sumbangan ke rumah kebajikan.
3. Menyekat atau menghalang orang lain membuat kebajikan kepada yang memerlukan. Mungkin dalam sepuluh rumah kebajikan tujuh daripadanya terlalu daif dan jarang mendapat perhatian media, maka tujuh rumah kebajikan itu dibiarkan daif. Pada masa yang sama dia tidak perpanjangkan perkara itu kepada orang lain.
Dengan tiga ciri ini, saya percaya ramai umat islam di negara ini yang termasuk dalam golongan yang akan dicampakkan ke dalam neraka wail atau dalam kata yang lebih jelas golongan yang menafikan agama. Oleh sebab itu, saya dengan penuh rasa berdosa mengajak umat Islam agar segera keluar daripada golongan di atas.
Sebelum mengakhiri catatan ini suka saya senarai siapakah golongan yang kemungkinan menindas atau menzalimi anak yatim. Mereka adalah terdiri daripada:
1. Ibu tunggal yang kematian suami sedangkan anak masih kecil. Disuruh buat kerja berat tetapi tidak diberi kasih sayang, kalau ada harta pusaka untuk mereka, diambil ibu itu sesuka hatinya.
2. Bapa tiri yang mengahwini ibu tungga, dia turut mendera atau menzalimi anak-anak tirinya dengan kerja berat. Kalau diberi upah tidak sepadan dengan tugasnya.
3. Majikan yang menggajikan anak yatim (bawah 15 tahun) sebagai buruh kanak-kanak. Konon atas nama hendak membela anak yatim, disuruh dia potong rumput tetapi gajinya sekadar gula-gula atau seumpamanya.
4. Pengurus Rumah Anak Yatim/Rumah Kebajikan. Pengurus selalu menerima sumbangan orang ramai atas nama anak yatim. Kadang-kadang pengurus itu menugaskan anak yatim itu keluar mendapatkan sumbangan. Namun hasil sumbangan orang ramai itu digunakan untuk kepentingannya. Sedangkan makan minum anak-anak tersebut masih ala kadar. Sesetangahnya pengurus itu menggunakan wang itu untuk membesarkan rumah tersebut dengan dana yang dikumpulkan itu. Walau bagaimanapun tidak mengapa kalau menggunakan wang sumbangan orang ramai atas tujuan pembesaran. Maka sebab itu wang sumbangan mesti diasingkan kalau jelas untuk pembesaran.
Semoga catatan ini boleh mengingatkan saya, rakan-rakan, sahabat taulan agar tidak terjebak dalam dosa yang pasti di dalam neraka wail. Na'uzubillah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan