02 November 2013

Selepas Kelantan , Pahang juga umum cuti pada 4 Nov.


28 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Pahang mengumumkan cuti peristiwa Isnin ini sempena perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di antara Pahang dengan Kelantan di Stadium Shah Alam, Selangor esok.
    
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata keputusan membenarkan cuti peristiwa pada 4 November dibuat setelah mengambil kira semua perkara termasuk semangat penyokong dan rakyat negeri Pahang.

 "Yang lebih penting untuk kita membolehkan penyokong yang pergi menonton di Stadium Shah Alam dapat merancang dengan baik perjalanan mereka supaya tidak tergocoh-gocoh pada malam yang sama untuk pulang.
    
"Mungkin mereka boleh bermalam di Shah Alam atau Kuala Lumpur dan pada keesokan harinya mereka boleh beransur untuk balik, (ke Pahang)," katanya kepada pemberita selepas majlis beramah mesra dengan pasukan Pahang dan penyokong di Kuantan semalam.
     
Dalam perkembangan berkaitan Kerajaan Kelantan beberapa hari lepas telah mengumumkan cuti peristiwa pada 4 November sempena perlawanan akhir Piala Malaysia .
  
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Dr Zainuddin Ibrahim berkata pekeliling mengenai cuti berkenaan akan dikeluarkan, esok.

"Cuti peristiwa ini diputuskan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob hari ini.
  
"Ia sebagai memberikan kemudahan kepada rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat bola sepak untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di Shah Alam, Selangor," katanya .

Tiada ulasan: