14 Disember 2013

Banjir di T’ganu hampir pulih, mangsa di Pahang meningkat

10 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Terengganu secara umumnya hampir pulih sepenuhnya setakat 5 petang ini, manakala jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat sedikit berbanding pagi tadi.

         
Di KUALA TERENGGANU, hanya 40 orang daripada 12 keluarga masih berada di tiga pusat pemindahan banjir yang masih dibuka petang ini, berbanding 784 orang (190 keluarga) melibatkan 10 pusat pemindahan pada sebelah pagi.

   
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), keadaan di daerah Kemaman yang dilanda banjir telah pulih seperti sedia kala dengan baki 349 mangsa (80 keluarga) di lima pusat pemindahan pagi tadi, telahpun dibenarkan pulang.
         
Serentak itu, semua pusat pemindahan di daerah Kemaman telah ditutup hari ini.
         
Dua daerah yang masih terjejas ialah Dungun dan Marang, dengan hanya 18 mangsa (empat keluarga) di dua pusat pemindahan di Dungun dan 22 mangsa (lapan keluarga) di Marang.

Cuaca di Terengganu hari ini cerah, sementara paras air di sungai-sungai utama di negeri itu dilaporkan berada dalam keadaan biasa petang ini.
         
Di KUANTAN, walaupun kesemua pusat pemindahan di daerah Rompin dan Temerloh yang terjejas banjir telah ditutup, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat sedikit kepada 5,515 berbanding 5,498 yang direkodkan pagi tadi.
         
Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga 4 petang ini, kesemua mangsa banjir daripada 1,391 keluarga itu ditempatkan di 57 pusat pemindahan.
           
Daerah Pekan menunjukkan peningkatan jumlah mangsa banjir kepada 3,992 berbanding 3,879 orang pagi tadi di 39 pusat pemindahan, disusuli Kuantan (736 orang di empat pusat pemindahan), Maran (724 di 12 pusat) dan Bera (63 di dua pusat). 


- Bernama

Tiada ulasan: