12 Disember 2013

Harga makanan dijangka meningkat 10 peratus

8 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), menjangkakan peningkatan sekurang-kurangnya 10 peratus bagi harga makanan dan minuman akibat kenaikan harga gula.


Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata kadar kenaikan itu dijangka melibatkan jenis makanan siap di restoran-restoran dan kedai makan.

“Ada sesetengah kedai makan di Kuala Lumpur yang menaikkan harga makanan panas seperti Nasi Goreng sehingga RM7 sepinggan.

“Ini kerana harga bahan masakan seperti gula yang dibeli secara runcit oleh pemilik restoran telah meningkat,” katanya dipetik Keadilandaily.

Selain kenaikan harga gula, turut mendorong kepada kenaikan harga barangan selepas ini adalah kenaikan harga petrol dan terbaru pengumuman kerajaan menaikkan kadar tarif elektrik yang akan berkuatkuasa tahun hadapan.

Menurut Mohd Yusof harga barangan yang dipek dan bertin juga semestinya akan turut naik kerana gula merupakan kandungan utama bahan makanan dan minuman.

“Kelompok paling terkesan akibat kenaikan ini sudah tentu golongan muda dan mereka yang tinggal di bandar.

“Ini kerana mereka bekerja sepanjang hari dan berada di pejabat. Mereka bergantung dan menjadi pengguna tetap ,” tambahnya.

Semalam, Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) membayangkan tambang pengangkutan awam LRT dan monorel pula bakal naik tahun depan.

Mereka memberi alasan kenaikan tersebut wajar memandangkan sudah 10 tahun tiada kenaikan.

Namun 'jaminan' diberikan bahawa satu kajian terperinci akan dibuat bagi memastikan ia adil dan tidak membebankan rakyat.

Sementara itu, Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz baru-baru ini berkata, beliau menjangkakan kadar inflasi negara kemingkinan meningkat daripada 2.8 kepada 3.0 peratus tahun hadapan ekoran kenaikan tarif elektrik yang diumum kerajaan.


Harakahdaily

Tiada ulasan: