12 Disember 2013

Bakar kereta polis lepas disaman

8 Safar 1435H. [MOD] -
Kapar: Berang disaman polis kerana melanggar lampu isyarat merah dan tidak memakai topi keledar, seorang lelaki nekad membakar kereta Toyota Vios milik seorang anggota polis berpangkat konstabel dalam kejadian di sebuah taman perumahan di daerah ini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa berusia 20-an sedang tidur di rumahnya sebelum dikejutkan dengan bunyi penggera kereta miliknya yang diletakkan di hadapan rumah.

Menurut sumber, curiga dengan bunyi penggera itu, mangsa bingkas bangun dan keluar meninjau keadaan di luar sebelum menyedari keretanya sudah terbakar.

Katanya, tanpa berlengah, mangsa segera memadam kebakaran keretanya itu bagi mengelak ia merebak dan membahayakan jiran yang tinggal bersebelahan.
Menurutnya, kereta mangsa terbakar di bahagian depan dan belakang manakala cermin hadapannya berlubang dipercayai di baling botol berisi petrol.

“Siasatan awal mendapati, rakan serumah mangsa yang juga bertugas di balai polis sama ada mengeluarkan saman kepada seorang lelaki yang menaiki motosikal kerana tidak mematuhi lampu isyarat merah serta tidak memakai topi keledar di sekitar Klang kira-kira jam 3 pagi, hari yang sama.

“Namun, lelaki terbabit yang berusia 20-an itu berang kerana disaman dan mengeluarkan kata kesat dan mengugut rakan serumah mangsa itu.

“Tidak gentar dengan ugutan itu, rakan serumah mangsa tetap mengeluarkan saman. Namun, dia tidak menyangka lelaki itu akan membalas dendam dengan membakar kereta yang disangka kereta anggota polis yang menyamannya,” katanya.

Sumber berkata, sepasukan polis berjaya menahan empat lelaki di sekitar Klang dan seorang daripada mereka mengaku membakar kereta rakan mangsa yang disangka kereta mangsa menggunakan minyak petrol bersama dua lagi rakannya.

Mymetro

Tiada ulasan: