29 Disember 2013

"Makin panas" :Premis Akan Naikkan Suhu Penyaman Udara Ekoran Kenaikan Tarif Elektrik

25 Safar 1435H. [MOD] -
PETALING JAYA: Keadaan akan menjadi lebih panas di dalam bangunan pada 2014 apabila pusat membeli-belah, bangunan tinggi dan pejabat akan meningkatkan suhu penyaman udara bagi mengurangkan kos elektrik.
Persatuan Pengurusan Kompleks Beli-belah. dan Bangunan Tinggi Malaysia 400 ahlinya di seluruh negara untuk menetapkan penghawa dingin mereka pada suhu 23° C atau 24°C.
Menurut persatuan itu, penyaman udara melibatkan penggunaan tenaga yang terbesar iaitu kira-kira 65% di dalam bangunan komersial.
Presidennya, H.C. Chan berkata, kebanyakan pusat membeli-belah di negara ini kini terlalu sejuk, dengan suhu antara 21°C hingga 23°C.
"Kita boleh dan perlu menaikkan suhu beberapa darja terutama sekali dengan kenaikan kos tenaga. Realitinya adalah kita perlu menjadi cekap dari segi penggunaan tenaga dan mengelakkan pembaziran kerana elektrik adalah perbelanjaan terbesar utama kita," katanya.
Chan berkata, kerajaan di negara-negara lain seperti China dan Singapura mengeluarkan garis panduan untuk mengawal pengurusan suhu dalam bangunan komersial di antara 24°C dan 26°C.
Ahli jawatankuasa Persatuan Pengurusan Bangunan Malaysia dan Hartanah Antarabangsa Persekutuan Malaysia, Richard Chan berkata, penggunaan penghawa dingin mencatatkan jumlah yang terbesar dalam bil elektrik di pusat membeli-belah dan bangunan tinggi.
"Kompleks atau pusat membeli-belah yang lebih besar membayar antara RM2 juta dan RM3 juta sebulan hanya untuk penggunaan penghawa dingin sahaja," katanya.
Beliau berkata, menaikkan ketetapan suhu penghawa dingin tersebut "walaupun hanya sebanyak satu darjah" mampu mengurangkan jumlah bil dengan ketara.
Beberapa bangunan semakin terasa bahangnya berikutan suhu penyaman udara semakin meningkat, dan Chan mencadangkan supaya pihak pengurusan dapat memperbaiki kemudahan peredaran udara.
Bangunan dengan kubah kaca atau panel kaca mengalami lebih banyak haba, menjadikannya lebih mahal untuk mengekalkan suasana yang selesa.
"Bangunan di mana pekerja memakai jaket kerana sejuk harus menyesuaikan suhu berkenaan. Operator perlu memastikan bahawa penghawa dingin ditetapkan pada tahap yang ideal, dengan betul dan kerap diselenggara," kata beliau sambil menambah bahawa penetap masa yang rosak boleh menyebabkan lampu dan penghawa dingin akan berfungsi tanpa henti.
Kemudahan di pangsapuri kos sederhana seperti perpustakaan dan gimnasium mungkin juga perlu mempunyai penghawa dingin selama tempoh yang tertentu atau hanya pada sudut-sudut tertentu.
"Sauna akan berfungsi hanya apabila penduduk meminta untuk itu (bukan lagi tempoh masa yang tetap)," kata Chan.
Beliau berkata, "roda tenaga" (rujuk grafik) adalah panduan mudah untuk memantau penggunaan elektrik.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, syarikat perlu mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kenaikan tarif elektrik.
"Tetapkan penghawa dingin anda pada suhu optimum untuk mengelakkan pembaziran dan mematikan suis kesemuanya apabila kakitangan berada di luar untuk makan tengah hari," katanya.
"Kos menukar kepada alat-alat penjimatan tenaga seperti lampu LED adalah mahal tetapi berkesan dalam jangka masa panjang."
MEF mewakili 4,500 ahli dan 18 gabungan persatuan perdagangan.
Shamsuddin berkata, majikan mungkin terdorong untuk mengurangkan pencahayaan di tangga dan kawasan letak kereta dan memberi amaran mereka bahawa tindakan itu akan menjejaskan keselamatan pekerja mereka.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Datuk Dr NKS Tharma Seelan berkata, klinik persendirian juga berhadapan dengan cabaran dengan peningkatkan kos dengan mengambil keputusan untuk menggantikan penghawa dingin dengan kipas.
"Langkah ini terutamanya untuk klinik yang beroperasi 24 jam," katanya.
Beliau berkata, hospital kerajaan telah menetapkan penghawa dingin pada suhu 24°C untuk ruang biasa dan 22°C untuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan bilik pembedahan.
"Dan keadaan yang paling tinggi adalah boleh mencapai 22°C Celsius tetapi 18°C adalah yang terbaik.
"Bilik pembedahan dan ICU mesti sejuk untuk mengelakkan kuman yang menyebabkan jangkitan daripada merebak," katanya.
Hospital swasta tidak akan memberi risiko sehingga menjadikan pesakit-pesakit mereka tidak selesa, maka kos untuk memastikan keadaan yang sejuk itu perlu dipindahkan kepada pesakit (dari segi perbelanjaan bil perkhidmatan), katanya.
Terdapat lebih 7,600 klinik dan hospital swasta di seluruh negara dan persatuan itu mempunyai lebih 3,000 ahli.
mStar/-

Tiada ulasan: