06 Januari 2014

Dr Rosli Yaakop Pengarah Urusan Harakah yang baru

4 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dr Rosli Yaakop berazam akan memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Urusan Harakah yang baru dengan penuh amanah yang akan menjanjikan pelaksanaan urus tadbir yang baik.

Beliau yang menggantikan Datuk Kamarudin Jaffar yang telah bersama Harakah selama tujuh tahun, mengakui tugas yang baru ini amat berat memandangkan Harakah adalah lidah rasmi PAS selain menjadi sumber kewangan kepada parti itu.

"Saya berterima kasih kepada Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk pikul tanggujawab baru ini," katanya dalam Majlis Penyerahan Tugas di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, hari ini.

Dr Rosli turut berjanji akan memberi komitmen sedaya upayanya dan cuba untuk memanfaatkan masanya dengan memberi tumpuan kepada Harakah.

"Saya boleh bagi tumpuan kepada Harakah, perniagaan saya akan diuruskan oleh isteri saya. Saya hanya memegang beberapa jawatan di peringkat negeri seperti Bendahari PAS Kawasan Rembau, dan Ketua Penyelidikan PAS Negeri Sembilan," katanya.

Selain mengembangkan dakwah dan politik Islam katanya, Harakah harus juga mampu menjana hasil yang cukup baik kepada parti dan menentukan habuan yang lebih baik kepada warga Harakah.

"Habuan yang lebih baik kepada warga Harakah, inilah yang mustahak. Kita akan kerja secara berpasukan yang menjanjikan barakah. 'Team Work' kita akan tekankan," katanya.

Turut bersama di dalam majlis ringkas itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali serta seluruh kakitangan Harakah.

Dalam pada itu, Kamarudin Jaffar yang mula berkhidmat sejak tahun 2006 merasakan perubahan di dalam Harakah itu antara lain ialah untuk perjuangan bersama di dalam PAS.

Katanya, hasrat untuk melepaskan jawatan Pengarah Urusan Harakah sekian lama diutarakan namun demi harapan parti kepadanya, beliau teruskan jua.

"Saya tidak mahu campur tangan dalam editorial sebab itu kita telah melantik penasihat editorial Harakah di kalangan AJK Harian. Saya turut berbincang beberapa kali siapa yang boleh ambil tugas ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Sepanjang perkhidmatan, beliau telah berusaha menyelesaikan beberapa masalah antaranya berjaya menyerap kakitangan TV PAS ke Harakah serta pengambilalihan Harakahdaily.

Kamarudin berharap pengunduran beliau ini perlu diambil positif oleh kakitangan Harakah dan tidak akan menjejaskan perjalanan Harakah selepas ini.

"Dr Rosli ini yang telah berjaya dalam bidang perniagaannya di Bangladesh, insya Allah Harakah akan terus berkembang dan berjaya di bawah beliau," katanya.

Tiada ulasan: