06 Januari 2014

Tanggungjawab PAS kepada ahli

4 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
USTAZ IDRIS AHMAD
Kewujudan Pas sebagai sebuah Harakah Islamiah dan Siasah mempunyai matlamat yang jelas  seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan Pas. Perjuangannya menuntut kepada semua pendokong memahami perjuangan yang dibawa. Pas tidak mahu ahli yang tidak faham erti perjuangan Pas. Pas bukan parti untuk orang menumpang dan berehat di R&R di lebuh raya, setelah hajat ditunai maka ia cabut lari. Ia bukan platform sementara untuk mencari matlamat duniawi tetapi ia adalah jamaah yang mesti mempunyai ahli dan pimpinannya faham erti mereka berintima' dengan perjuangan Pas. Kita tidak mahu ahli yang tidak faham, sebab apa mereka bersama dengan perjuangan Pas. Allah marah jika bersikap demikian. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Jangan kamu berpendirian pada perkara yang kamu tidak ketahui".

Pas sebagai jamaah Islam mempunyai malamat untuk  Membentuk Peribadi Muslim. Ini adalah asas yang perlu ada kepada ahli Pas. Menjadi tugas Pas mendidik ahli supaya mempunyai peribadi Muslim yang unggul. Kerana ini adalah asas kepada Gerakan Islam. Mengambil manhaj yang dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad SAW kepada para sahabat pada peringkat permulaan dakwah baginda di rumah al Arqam bin Abi Arqam. Penekanan kepada kefahaman akidah yang benar, menjadi tunjang kepada manhaj tarbiah. Apa makna perjuangan jika tidak ada kefahaman akidah yang benar. Penilaian amal bermula daripada akidah yang benar.Akidah sebagai penggerak utama dalam segala perkara. Keyakinan untuk menentang kezaliman kerana akidah yang merupa tuntutan agama. Perjuangan tidak boleh berpaksi kepada kebendaan terlebih dahulu. Benda datang kemudian, jika benda yang didahulukan sampai bila kita tidak boleh berjuang. Mana ada sejarah Nabi Muhammad SAW memulakan dakwah dan perjuangan bila kaya. Kekayaan dan kebendaan datang kemudian apabila kemantapan akidah dan keyakinan perjuangan telah dilaksanakan. Ada orang berpandangan biar kaya baru hendak berjuang. Kalau kaya, akidah tidak mantap tetap tidak berjuang juga kerana takut hendak tinggal kekayaan, akhirnya bertemu Allah dalam keadaan tidak berjuang.

Pas mesti memastikan ahlinya mempunyai akhlak dan keperibadian yang tinggi dan unggul. Biarlah ketika ahli Pas berada di mana-mana tempat, kehadiran mereka dirasai dan kehilangan mereka dikenang. Kita mahu ahli Pas ketika berada dengan orang ramai, seolah-olah mereka ialah individu yang berjalan menaiki bukit sedangkan orang lain berada di tanah rata. Ertinya akhlak mereka dikagumi dan diikuti kerana ada kelainan. Ahli Pas ketika bekerja di mana- mana sektor sama ada awam atau swasta mesti menunjukkan profesional mereka sebagai penjawat yang baik. Selesaikan tugas dan amanah dengan baik. Jangan curi tulang. Jangan biarkan fail bertimbun di atas meja, sehingga menjejaskan kepentingan orang ramai yang berurusan dengan kita. Walaupun mereka tidak melilit bendera di kepala, tetapi tingkah laku mereka boleh diperhati dan dinilai oleh orang lain.

Pas kena mendidik ahlinya supaya jangan bersikap adu domba dan menyebarkan fitnah sesama ahli. Mereka jangan berlakon menjadi ahli Pas, tetapi tidak berakhlak sebagai mana tuntutan seorang ahli. Kita sebagai ahli Pas kena awas jika ada yang mengaku ahli Pas, tetapi  mengadu domba di dalam jamaah. Mereka ini kita kena hazar, mungkin ini adalah talibarut yang hendak musnah daripada dalam. Jika ahli Pas yang tulin mereka tidak tergamak berkelakuan demikian rupa.

Pas mesti mendidik ahlinya memelihara aurat dan pergaulan sesama sendiri. Memakai pakaian yang menurut syariat bukan adat adalah asas utama yang mesti diberi keutamaan. Perkara ini tidak perlu tunggu ada negara Islam. Tidak perlu tunggu hukum hudud, kerana ia menjadi tanggungjawab kepada semua ahli walaupun kita tidak ada negara. Pakaian ialah cermin keperibadian seorang, di dalam hati Allah SWT sahaja yang tahu. Kita tidak boleh biarkan ahli Pas melakukan dosa sepanjang ia mendedahkan aurat apabila berhadapan dengan bukan mahramnya. Lebih malang lagi kita telah melakukan dosa kering, kerana membiarkan orang lain turut berdosa kerana memerhati aurat kita. Biarlah pakaian menjadi "lisanul hal" kepada orang ramai untuk medekati perjuangan Pas. Biarlah pakaian menjadi pembeza antara ahli Pas dengan orang lain. Jika pakaian ahli Pas tidak menepati syarak macama mana orang lain mahu mendekati Pas. Mereka akan mendakwa jika perkara mudah seperti ini pun orang Pas gagal laksanakan, macam mana perkara yang lebih besar hendak diharapkan.

Pas mesti mendidik ahlinya bersikap benar di dalam urusan hidup mereka. Jangan sama sekali menipu di dalam muamalat. Mesti jujur di dalam berurusan. Tidak boleh kita membiarkan diri memungkiri janji  dengan orang ramai. Akhlak ini menjadi tinjauan orang ramai kepada kita. Sekiranya perlakuan ini dilakukan ia akan tersebar keburukan aklak ahli Pas kepada orang ramai. Akhirnya, Pas jua yang terpalit. Ingatlah Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Bercakap benar itu akan membawa kepada kebaikan dan bahawasanya kebaikan itu membawa kepada syurga, bahawa seorang itu sentiasa bercakap benar sehingga ditulis di sisi Allah sebagai seorang ang benar, dan bahawa pembohongan itu membawa kepada kecelakaan dan kecelakaan ini membawa ke dalam api neraka, seorang itu sentiasa berbohong, sehingga ditulis di sisi Allah sebagai pembohong".

Pas mesti mendidik ahlinya untuk menjauhkan diri daripada beramal dengan amalan ribawi. Tidak sepatutnya kita sebagai anggota Harakah Islamiah yang membawa cita-cita suci di negara ini terlibat dengan amalan riba. Sekarang tidak boleh menjadi alasan kepada kita untuk mengelak daripada terlibat dengan muamalat riba. Wajib kita berurusan dengan bank yang melaksanakan perbankan Islam dan takaful. Ahli dan pimpinan Pas wajib membeli kereta, motor menggunakan sistem perbankan Islam. Wajib mengambil takaful dalam semua urusan kereta bermotor. InsyaAllah di sana ada keberkatan hidup jika kita mengamalkan muamalat selaras dengan Islam.

Allah telah menyebut di dalam al-Quran yang bermaksud: "Allah menghapuskan keberkatan riba dan memelihara sedekah".

Amat tidak molek jika sebagai pejuang Islam bergelumang dengan amalan riba. Sebenarnya untuk membentuk peribadi Muslim ahli Pas tidak perlu menunggu adanya negara. Cukuplah perkara ini mesti diamalkan dahulu, sebelum kita mendapat negara. Sebagaimana yang pernah disebut oleh Hasan Hudhaibi pemimpin Ikhwan Muslmin"Tegakkan Islam di dalam diri kamu, sebelum kamu tegakkan Islam di negara kamu".
Penulis ialah Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat.

Tiada ulasan: