01 Februari 2014

Cikgu Mala santuni kaum Tionghua Dun Pemanis

1 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
HARAKAHDAILY
SEGAMAT: Menjelang Sambutan Tahun Baru Cina, Normala Sudirman dan NGO Skuad Cikgu Mala Prihatin menyantuni Kaum Tionghua di Dun Pemanis di beberapa lokasi dan premis perniagaan sekitar Dun Pemanis.

Kegembiraan jelas kelihatan di wajah mereka apabila mantan calon PRU13 Dun Pemanis ini beramah mesra sambil mengedarkan Kad Tahun Baru Cina dan limau mandarin. Normala yang lebih mesra disapa dengan panggilan Cikgu Mala disambut dengan rasa gembira dan ceria.

 Apa yang paling mengharukan sebaik sahaja beliau tiba untuk mengunjungi Kaum Tionghua ini, mereka sedang sibuk menaikkan banner Ucapan Selamat Tahun Baru Cina yang ditempah khas sebagai penghargaan kerana menjadi calon PRU13 yang lalu.

Dengan ditemani suaminya, Cikgu Maarof Abd Mutalib, aktiviti menyantuni kaum Tionghua ini lebih dilakukan pada waktu malam memandangkan ramai keluar menikmati makan malam bersama keluarga menjelang Tahun Baru Cina.

Walau bagai manapun, waktu siang juga skuad ini terus menyantuni kaum Tionghua di Dun Pemanis. Tidak ketinggalan juga wakil PKR dan wakil kaum India juga bersama mengiringi Cikgu Mala dalam program ini.

Momentum sokongan moral sebelum ini dalam PRU13 terus digerakkan dan diserlahkan dengan memberikan sokongan kepada parti PAS melalui inisiatif  usaha mereka yang akan mengadakan 'Jamuan Muhibbah Sempena Tahun Baru Cina Bersama Cikgu Mala'  pada 12 Februari ini jam 8.00 hingga 10 malam di No. 251 , Jalan Pee Khang Hai, Kg. Abdullah Segamat, Johor.

Selain pimpinan PAS kawasan yang dijemput, tetamu istimewa serta pimpinan yang menyatakan persetujuan untuk hadir memeriahkan majlis mereka adalah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Hu Phang Chaw (Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat), Tan Chen Choon (Adun Jementah) dan Julailey Jemadi (mantan calon PKR Parlimen Sekijang) dalam PRU13 yang lalu.

Cikgu Mala melahirkan rasa terharu atas sokongan kaum Tionghua yang ingin bersama dengan PAS serta menyokong penuh usaha untuk menawan Dun Pemanis pada PRU13 yang lalu dan menolak Lau Chin Hoon calon BN dari Gerakan.

Cuma cabaran di Dun Pemanis adalah ingin melonjakkan sokongan di Felda Pemanis 1, Felda Pemanis 2 dan Felda Medoi. Beza majoriti kemenangan BN mengatasi PAS adalah 1,329 undi sahaja.

Justeru, Cikgu Mala beriltizam untuk terus berbakti kepada penduduk Dun Pemanis tanpa mengira perbezaan pendirian politik, sempadan batasan agama atau kaum kerana yang penting usaha untuk meninggikan izzah kemuliaan Islam sentiasa membara demi mencari mardhatillah.

"Saya optimis, keikhlasan untuk berbakti ikhlas dari hati, akan sampai ke hati pengundi suatu hari nanti. Yang penting, masyarakat Tionghua suka kepada PAS dan sentiasa akan mememberikan sokongan hingga pada PRU14 nanti," ujarnya.

Selaku Penyelia Pusat Aduan Rakyat Dun Pemanis yang telah diamanahkan sebelum PRU13 yang lalu, beliau berazam untuk terus menjadikan platform ini agar dapat terus menyantuni pengundi dan berharap dapat terus menjadi sebagai 'Duta PAS ' dan penghubung komunikasi muhibbah serta perantara antara kaum Tionghua dengan ahli PAS di Dun Pemanis.

Tiada ulasan: