18 Februari 2014

Industri penerbangan Indonesia rugi besar akibat letusan Gunung Berapi Kelud

18 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

Pekerja membersihkan kapal terbang yang diselaputi abu Gunung Berapi Kelud. - Gambar Reuters.Pekerja membersihkan kapal terbang yang diselaputi abu Gunung Berapi Kelud. - Gambar Reuters.Letusan Gunung Berapi Kelud di Malang, Jawa Timur pada Khamis lepas menyebabkan industri penerbangan di Indonesia terpaksa menanggung kerugian besar.
Lapangan Terbang Antarabangsa Adisucipto di Yogyakarta yang paling teruk terjejas akibat letusan gunung berapi berkenaan mencatat kerugian sebanyak 450 juta Rupiah (RM128,000) sehari.

Jurucakap lapangan terbang berkenaan, Faisal berkata kerugian itu berikutan sebanyak 127 penerbangan terpaksa dibatalkan setiap hari.
Pengurus Besar Lapangan Terbang Juanda di Surabaya, Trikora Harjo seperti dipetik akhbar berbahasa Inggeris, Jakarta Post, pula berkata lapangan terbang berkenaan mencatat kerugian 3 bilion Rupiah (RM820,000) berikutan tidak dapat beroperasi selama dua hari.
Lapangan Terbang Juanda yang ditutup susulan letusan Gunung Berapi Kelud, terpaksa membatalkan 386 penerbangan menyebabkan perjalanan 50,000 penumpang tergendala.
Lapangan Terbang Juanda dan Lapangan Terbang Ahmad Yani di Semarang mula beroperasi pada Sabtu lepas manakala Lapangan Terbang Hussein Sastranegara di Bandung kembali dibuka semalam.
Lapangan Terbang Antarabangsa Adisucipto dan Lapangan Terbang Antarabangsa Adi Sumarmo di Solo, bagaimanapun masih ditutup berikutan kesan abu dan lahar Gunung Berapi Kelud yang tebal. - Bernama

Tiada ulasan: