18 Februari 2014

Herman Tino Nyatakan Minat Tanding PRK Kajang

18 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

PETALING JAYA: Penyanyi dangdut, Herman Tino telah menyatakan minat untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Kajang, memulakannya dengan hashtag #Herman4Kajang di Twitter.
Beliau yang mengungguli carta pada era 1980-an dengan rentak dangdut telah mencipta #Herman4Kajang bagi mengukur reaksi orang ramai mengenai hasratnya untuk bertanding kerusi itu.
Herman berkata, beliau hanya akan bertanding jika rakyat di Kajang memberikan lampu hijau kepadanya.

"Saya akan menunggu isyarat dalam talian daripada pengundi di Kajang dalam masa 10 hari akan datang sebelum membuat keputusan muktamad. Saya mestilah mendapatkan kebenaran pengundi di sana kerana saya tinggal di tempat lain iaitu di Tanjung Karang," kata Herman.
Beliau adalah antara lima calon yang setakat ini telah menyatakan minat untuk bertanding di kerusi DUN Kajang yang mana PKR telah mencalonkan ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka yang lain adalah bekas pemimpin PKR Datuk Zaid Ibrahim, bekas sekutu Anwar, Datuk S. Nallakaruppan dan peguam Yuktes Vijay.
Barisan Nasional masih belum secara rasmi menamakan calonnya.
"Saya mahu bertanding di Kajang sebagai tanda protes terhadap percubaan Anwar untuk mengambil alih jawatan menteri besar," kata Herman, atau nama sebenarnya Masrum Tamsi.
Herman berkata, sebagai anak Selangor, beliau tidak mahu melihat negeri itu menjadi mangsa permainan politik.
"Sudah tiba masanya kita mengatakan tidak kepada pembulian politik. Kita perlukan pemimpin yang berpandangan jauh yang membuat perancangan bagi kepentingan orang ramai, bukannya seseorang yang melakukannya untuk kepentingan politik peribadi," katanya.
Herman berkata beliau menentang sebarang percubaan untuk menggantikan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Saya pasti ramai di Selangor berkongsi sentimen yang sama untuk menghalang Anwar, yang merupakan orang luar yang berhasrat mendapatkan jawatan menteri besar," katanya.
Herman telah bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Tanjung Karang dalam pilihan raya umum dan disingkirkan dari Umno tahun lepas.
mStar/-

Tiada ulasan: