15 Februari 2014

Letusan Gunung Berapi Kelud, 294 Pelajar Malaysia Di Jawa Timur Selamat - Wisma Putra

15 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

Gunung Berapi Kelud meletus pada Khamis.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 294 pelajar Malaysia di Malang, Surabaya, Solo dan Yogyakarta, kawasan yang terjejas akibat letusan Gunung Kelud di daerah Magelang, Jawa Timur, dilaporkan selamat.
Wisma Putra dalam kenyataan malam ini menasihatkan pelajar berkenaan supaya tinggal di dalam rumah dan mengelak daripada melakukan aktiviti luaran.

Kedutaan Malaysia di Jakarta akan terus memantau keadaan, menurut kenyataan itu.
Berikutan letusan terbaru itu, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan atau lawatan tidak penting ke kawasan terjejas di wilayah itu atas faktor keselamatan.
Wisma Putra turut meminta rakyat Malaysia yang sudah berada di kawasan itu supaya memantau keadaan dan mematuhi arahan pihak berkuasa Indonesia.
Pada Khamis, Gunung Kelud, yang terletak 90km di barat daya Surbaya dan 200km dari Yogyakarta, meletus sebanyak dua kali, dengan mengeluarkan abu setinggi 3,000m ke udara.
Pihak berkuasa Indonesia telah mengeluarkan larangan zon keselamatan dalam lingkungan 10km dari gunung tersebut dan lapangan terbang di Yogyakarta, Solo dan Surabaya ditutup sementara. - BERNAMA

Tiada ulasan: