08 April 2014

PAS gesa kerajaan tidak hantar pulang Rohingya

8 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran tidak menghantar pulang pelarian Rohingya yang berada di negara ini memandangkan tindakan itu hanya akan menambah penderitaan mereka.

Situasi itu dilihat berdasarkan pelarian Rohingya ini berdepan dengan pembunuhan etnik mereka di negara sendiri, Myanmar, selain dinafikan hak untuk mendapatkan kewarganegaraan.

"Apakah kerajaan ada mengeluarkan dokumen khas bagi memastikan pelarian ini tidak dihantar pulang ke negara mereka yang berisiko untuk dibunuh? Mereka ini adalah pelarian, dan berbeza dengan pendatang asing tanpa izin (PATI)," kata Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hasan, di Dewan Rakyat, hari ini.


Tegas Nasruddin, walaupun mungkin ia bersangkutan dengan hal perundangan, atas prinsip kemanusiaan, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberi perlindungan yang baik kepada mereka di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kerajaan telah menanggung banyak masalah kerana negara lain tidak mahu dan tidak mampu berbuat seperti Malaysia.

"Malaysia sebenarnya sudah ada kemanusiaannya. Macam PATI, jika ikutkan kos penghantaran semula ditanggung 50-50 oleh kedua-dua negara terlibat. Tetapi akhirnya kita terpaksa menanggung kos sepenuhnya," kata beliau.

Bagaimana Shahidan memberi jaminan mana-mana pelarian yang memegang kad UNHCR mungkin boleh dikecualikan dari Akta Imigresen.

Beliau turut memaklumkan dewan bahawa terdapat badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang aktif dalam menyalurkan bantuan kepada komuniti pelarian ini dalam memastikan kebajikan mereka terpelihara.
Harakahdaily/-

Tiada ulasan: