11 April 2014

Travelog Idham Lim (14)

12 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -
Sekali ini saya nak bercerita mengenai apa yang ada kaitan dengan gambar di atas, iaitu bagaimana saya pandai memasak.

Mengenai dengan kegemaran memasak saya sehingga sekarang, terus terang ianya mengembalikan kenangan yang pahit dan manis dalam kehidupan ini . Setiap kali saya berada di dapur ingatan ini kembali segar mengenai kisah hidup zaman kanak-kanak.

Alhamdulillah walau apa pun yang saya masak ,isteri dan anak-anak semuanya gemar dan berselera apa lagi bila kami menikmatinya bersama. Malah itulah yang saya rasakan terbaik kerana kalau kita mampu untuk lebih kerap masak dirumah dan hidangkan untuk anak-anak makan pastinya ianya lebih bersih dan halal .  Kita dapat menentukan apa yang kita masak dari bahan-bahan yang halal. Paling penting semuga hasil tangan kita sendiri membawa keberkatan dari Allah SWT.

Cerita saya pandai masak atau kalau lebih sesuai dikatakan saya boleh masak semuanya bermula pada tahun 1973 bila ibu tersayang meninggal dunia selepas terlantar sebulan di Hospital Kota Baharu selepas melahirkan adik yang ke 8, Lim Chuan Gan atau nama Islamnya  sekarang Muhammad Ihsan lim yang juga memeluk Islam pada tahun 1992.

Sekarang beliau menetap di Gombak berkerja sebagai Pensyarah di sebuah Universiti swasta di KL.

Sejak dari itu kami sekeluarga yang tinggal bersama dengan ayah di kampung terpaksa masak sendiri sebagai memenuhi keperluan makan  setiap hari. Masa itu paling kurang adalah makan pagi seperti nasi berlauk yang boleh kami beli di kedai "Pak Jit" diSimpang Tiga Bekelan yang terletak sekita 800 meter dari rumah kami.. Untuk makan tengahari dan malam terpaksalah kami secara bergilir-gilir masak sendiri . Masih segar dalam ingatan bagaimana kami masak dan makan bersama .

Seorang demi seorang abang yang lebih dewasa meninggalkan kampung dan keluarga. Akhirnya tinggallah saya yang masih bersama ayah.  dipenghujung tahun sebelum saya menghadapi peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Jelawat pada tahun 1981. Dimasa itu saya sudah mampu untuk masak pelbagai jenis makanan dan membuat berbagai jenis kuih kegemaran orang Cina disebabkan sayalah orang yang terakhir bersama ayah.

Cakap saja apa saja bahan mentah yang ada dihadapan mata insyaAllah saya boleh masak. Kegemaran memasak ini berterusan semasa saya berada di rumah sewa semasa belajar di sekolah swasta di Machang. Malah ia berterusan semasa belajar di Aceh.  Kami yang tinggal di Rumah Malaysia masak secara bergilir-gilir secara berkumpulan terutamanya pada cuti dua hari dihujung minggu. Lebih menarik semasa itu zaman orang masak bukannya dengan dapur gas, tetapi dengan dapur minyak tanah.

Semasa belajar di UIA pada tahun 1994 dan tinggal di Taman Desa Minang Gombak kami juga membuat jadual masak secata bergilir pada setiap hari sabtu dan Ahad. Seterusnya semasa belajar di China antara tahun 1998 hingga tahun 2000 kembali saya kena masak sendiri pada setiap hari.  Saya  menulis surat kepada pihak kolej yang saya tinggal untuk membenarkan saya masak didalam bilik asrama atas alasan tiada makanan halal yang dijual didalam dan sekitar kolej.

Demikianlah apa yang saya lalui tentang cerita memasak selepas saya  kehilangan ibu tersayang. Kerana itu kalau ada masa yang terluang saya akan gunakan masa untuk mengolah apa saja bahan mentah yang ada didapur dan mengajak anak-anak untuk makan bersama termasuklah pada pagi ini.

Sesiapa yang sudi datanglah ke rumah untuk makan apa yang saya masak dan hidangkan. Dizaman semuanya boleh dibeli dikedai. Dizaman sekarang kedai makan sudah bersepah. mungkin saya menjadi orang yang bertuah terdidik untuk berdikari semasa bersama keluarga dan masa di alam pengajian di universiti sehingga pandai memasak. Jauh berbeza dengan zaman anak-anak kita sekarang. berbanding dengan masa kita kecil dulu. Masa  sekarang anak-anak kita tidak pandai memasak kerana pagi siang dan malam semua ada makanan yang dijual di kedai. Tambahan pula ada pula penghantaran ke rumah, COD lah, Grab food lah, Food Panda lah dan macam-macam lagi sehinggakan kita sendiri pun mungkin menjadi malas untuk masak sendiri.

Bersambung....

Tiada ulasan: