31 Mei 2014

Doakan Presiden PAS kembali pulih

2 Sya'aban 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar meminta semua ahli dan penyokong PAS bertenang serta berdoa agar kesihatan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kembali pulih.

Beliau memberitahu Presiden PAS sekarang berada di hospital di Istanbul dan dalam pemantauan pakar-pakar perubatan.

"Kita mendoakan agar Tuan Guru pulih dan dapat kembali ke Malaysia untuk terus memimpin parti.

"Kepada seluruh penyokong Pakatan Rakyat khususnya PAS terus berdoa agar kesihatan Tuan Guru kembali pulih," jelasnya kepada Harakahdaily.

Menurut Mahfuz, Tuan Guru mengunjungi Turki atas urusan rasmi untuk bertemu pemimpin kerajaan di sana.

"Beliau pergi ke Turki selepas datang ke Teluk Intan Isnin lepas dan dijangkakan balik pada 4 Jun nanti," katanya.

Sementara itu dalam kenyataan ringkas, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi memberitahu beliau telah menghubungi Setiausaha Politik Presiden, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar yang turut bersamanya di Istanbul, Turki.

"Beliau dimasukkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas dan sekarang keadaan beliau stabil dan sedang berehat.

"Mohon doa dari semua umat Islam agar beliau pulih dan dapat terus memimpin ummah," katanya. - HARAKAHDAILY 31/5/2014

Tiada ulasan: