13 Mei 2014

PAS timbang semua pilihan termasuk sidang khas DUN

12 Rejab 1435. [MOD] -

PAS Terengganu mempertimbang semua pilihan termasuklah mengadakan sidang khas dewan undangan negeri (DUN) berdasarkan situasti terkini yang menyaksikan BN menjadi kerajaan minoriti di Terengganu.

Perkara itu dinyatakan ADUN Batu Burok dari PAS, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi sewaktu ditanya tentang langkah PAS yang mempunyai 14 kerusi di DUN Terengganu selepas bekas menteri besar dan dua ADUN bertindak keluar Umno.

"Ya, semua aspek kita ambil kira. Itu kita sedang perhalusi semuanya. Kita berhati-hati dan tidak mahu gopoh dalam sikap kita," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, PAS akan bermesyuarat untuk membincangkan hal itu dan sentiasa meneliti perkembangan semasa.

"PAS sendiri akan bermesyuarat dengan segera demi 'menyelamatkan' Terengganu," katanya.

Menurutnya, PAS Terengganu juga sedia maklum dengan kenyataan penasihat undang-undang negeri yang mengumumkan bahawa kerajaan BN masih berkuasa di negeri itu.

Sementara itu, pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat memaklumkan yang PAS Terengganu akan membuat kenyataan dari semasa ke semasa berhubung perkembangan di negeri itu.

"Dari semasa ke semasa, PAS Terengganu akan membuat pemberitahuan kepada media, melalui media rasmi bagi mengelakkan sebarang khabar angin dan kenyataan-kenyataan di luar daripada keputusan pemimpin," kata ADUN Paka itu.

BN kini menguasai hanya 14 kerusi berbanding Pakatan Rakyat yang menguasai 15 kerusi dengan tiga lagi kerusi merupakan kerusi bebas.

Situasi itu tercetus apabila tiga wakil rakyat mengisytiharkan mereka keluar daripada Umno lewat malam semalam.

Mereka ialah bekas menteri besar dan ADUN Kijal Datuk Seri Ahmad Said, Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi).

Tiada ulasan: