17 Jun 2021

'Sidang Parlimen dijangka tidak cetus pertukaran kerajaan'



KUALA LUMPUR: Saranan supaya persidangan Dewan Rakyat diadakan segera dilihat tidak akan memberi tekanan kepada kerajaan hingga menyebabkan berlaku pertukaran pentadbiran negara.

Ini kerana, saranan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong itu bertujuan membolehkan Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No.2) 2021 dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan demi kepentingan rakyat.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata ia jelas memberi gambaran bahawa keutamaan perlu diberikan bagi menyelesaikan masalah dihadapi rakyat, merentasi kepentingan politik.

Selain itu, katanya, pemimpin kedua-dua blok ketika ini perlu menggunakan persidangan berkenaan untuk memenangi hati rakyat dan bukannya menonjolkan agenda peribadi masing-masing.

"Tidak timbul soal pertukaran kerajaan kerana Parlimen tidak dijadikan tempat untuk melakukan perubahan pentadbiran. Kalau ia diangkat sebagai agenda besar persidangan kali ini, sudah pasti rakyat akan bosan dan kecewa.

"Dalam keadaan terdesak ini, rakyat mahu kedua-dua pihak untuk membawa rakyat ke hadapan, sebaliknya bukan untuk tunjukkan kepentingan kuasa politik mereka.

"Ia sukar berlaku, melainkan masih ada pihak yang cuba pergi mencari akuan bersumpah (SD) dan mendakwa ada angka cukup bagi membentuk kerajaan. Rakyat sudah bosan dengan tingkah laku seperti itu," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas pandangan dizahirkan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah supaya persidangan Dewan Rakyat diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Pelan Pemulihan Negara dibentang kerajaan semalam dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli Parlimen.

Menyokong pandangan itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, berkata beberapa pemimpin utama pembangkang sebelum ini sudah memberi jaminan tidak mengemukakan usul undi tak percaya, sebaliknya fokus kepada permasalahan rakyat.

"Saya tidak nampak perkara ini akan menjadi kenyataan didorong keadaan pembangkang, selain tumpuan diberikan kepada suasana permasalahan rakyat. Tidak munasabah untuk memberi tekanan kepada kerajaan hingga menyebabkan perubahan pentadbiran.

"Tindakan sedemikian juga akan bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan sentimen semasa dalam negara yang mahukan 'politiking' dikurangkan," katanya.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman memberi gambaran persidangan Dewan Rakyat boleh dilaksanakan seawal Ogos depan, selepas mengambil kira prosedur termaktub dalam Peraturan Dewan.

"Kita juga perlu mengambil kira persediaan kerajaan mengadakan persidangan secara hibrid seperti dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini.

"Semua perkara ini boleh mempercepatkan persidangan Dewan Rakyat berlaku, mungkin lebih awal daripada garis masa ditetapkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pembentangan Pelan Pemulihan Negara, semalam," katanya. BH/

Tiada ulasan: