25 Jun 2021

Vaksin percuma untuk rakyat, lapor jika ada tawaran pembelian, kata menteri

 

Suntikan vaksin bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah percuma kepada semua penduduk, kata Khairy Jamaluddin.

Katanya, walaupun orang ramai mendapatkan suntikan di pusat pemberian vaksin (PPV) bawah pengamal perubatan swasta, tiada kos rundingan boleh dikenakan.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan tidak berurusan dengan sesiapa yang menawarkan pembelian vaksin dan sebaliknya terus melaporkan perkara itu kepada polis.

“Tiada kos rundingan juga boleh dikenakan oleh pengamal perubatan swasta ke atas orang ramai yang hadir atas janji temu yang telah diberikan untuk divaksinasi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras PICK berkata, ketika ini terdapat beberapa jenis PPV yang dikendalikan oleh pengamal perubatan swasta bawah ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, sebuah syarikat bukan berasaskan keuntungan milik Kementerian Kesihatan.

Katanya, PPV berkenaan adalah Pengamal Perubatan Am Swasta, PPV Hospital Swasta, PPV Klinik Pakar, PPV Pusat Jagaan Ambulatori dan PPV Industri.

“Prinsip yang sama juga terpakai untuk program PPV Industri bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang telah digerakkan untuk mengawal penularan wabak Covid-19 melalui Fasa 4 PICK.

“Vaksin dibekalkan secara percuma bawah PIKAS. Kos pentadbiran vaksin perlu ditanggung majikan di mana kos tersebut merangkumi penyediaan PPV dikendalikan pihak swasta dan perkhidmatan pengamal perubatan swasta,” katanya.

Khairy berkata, majikan dilarang memindahkan kos pentadbiran vaksin kepada pekerja melalui potongan gaji pekerja berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Douglas Uggah Embas, berkata semua pekerja industri di negeri itu diberikan vaksin Covid-19 secara percuma oleh kerajaan.

Beliau berkata, ada iklan dibuat beberapa syarikat menyatakan mana-mana pekerja yang mahu menjalani vaksinasi di PPV di premis mereka perlu membuat sejumlah bayaran.

Kerajaan sebelum ini melaksanakan program membenarkan syarikat terpilih menjalankan vaksinasi di premis mereka melibatkan industri penting dalam usaha mempercepatkan program vaksinasi terhadap pekerja bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. FMT/-

Tiada ulasan: