25 Jun 2021

Jemaah Menteri nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk diadakan persidangan Parlimen - Peguam Negara


KUALA LUMPUR: Perlembagaan Persekutuan menetapkan Jemaah Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Sidang Parlimen, kata Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Beliau berkata, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan, baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Katanya, ini selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan, penjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri.

"Berdasarkan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memanggil Parlimen bersidang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Namun, peruntukan untuk memanggil Parlimen bersidang tidak mempunyai kesan bawah perenggan 14(1)(a) Ordinan Darurat selama tempoh darurat berkuat kuasa.

Perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat pula memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen pada tarikh `sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan pelbagai pihak kebelakangan ini memberikan pandangan mengenai kuasa Yang diPertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang dan kewajipan baginda bertindak atas nasihat Jemaah Menteri seperti diperuntukkan bawah Perlembagaan Persekutuan.

Idrus menjelaskan subseksyen 14(1) Ordinan Darurat perlu dibaca bersama peruntukan lain dalam Ordinan Darurat seperti seksyen 17 dan 18.

Katanya, Seksyen 17 memperuntukkan bahawa bagi tempoh darurat berkuat kuasa, kuasa yang diberikan di bawah Ordinan Darurat itu adalah tambahan kepada, dan bukanlah sebagai menggantikan, kuasa yang diberikan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa.

"Seksyen 18 memperuntukkan sekiranya terdapat apa-apa percanggahan atau ketidakselarasan antara peruntukan Ordinan Darurat itu dengan mana-mana undang-undang bertulis yang lain, peruntukan Ordinan Darurat berkenaan hendaklah mengatasi dan peruntukan undang-undang bertulis lain yang bercanggah atau tidak selaras itu hendaklah disifatkan digantikan setakat percanggahan atau ketidakselarasan itu," katanya.

Beliau juga memperjelaskan berdasarkan seksyen 17 dan 18 itu, perenggan 14(1)(b) ataupun mana-mana peruntukan dalam Ordinan Darurat itu tidak mengecualikan peruntukan prinsip Raja Berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, mengenai kuasa Jemaah Menteri dalam menasihati Yang diPertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang, Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara memperuntukkan bahawa Ketua atau Timbalan Ketua Majlis iaitu (Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri) hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap Penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam sesuatu Penggal dan Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh yang ditetapkan.

Oleh itu, katanya, selaras kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang yang dijalankan mengikut nasihat Jemaah Menteri, tarikh-tarikh mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga ditentukan oleh Jemaah Menteri.

Turut diperjelaskan Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan antara lain, pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima serta bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan.

Tiada ulasan: