25 Jun 2021

3 hari berturut-turut lepasi 250,000 dos suntikan, negara hampiri sasaran vaksinasi 10% penduduk menjelang Julai

Khairy berkata, selama tiga hari berturut-turut negara mencatatkan lebih 250,000 dos suntikan sehari selepas merekodkan 268,604 dos suntikan semalam.

PETALING JAYA: Negara semakin menghampiri sasaran 10% daripada jumlah populasi divaksin selepas 15% atau 4.9 juta individu berumur 18 tahun ke atas sudah menerima vaksin dos pertama setakat ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu seramai 1.89 juta atau 5.8% sudah lengkap dos kedua.

Beliau juga mengumumkan negara mencatatkan tiga hari berturut-turut lebih 250,000 dos suntikan sehari diberikan selepas merekodkan 268,604 dos suntikan semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) melaporkan pemberian dos pertama dan dos kedua pada 22 Jun dan 23 Jun masing-masing sebanyak 252,773 dan 250,529 dos.

“Kita berjaya mencatatkan tiga hari berturut-turut lepasi 250,000 dos.

“Ia semakin menghampiri nilai ambang 10% yang diperlukan kepada peralihan fasa kedua,” katanya pada sidang media bersama Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong selepas mengadakan sesi lawatan tapak ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sektor pengangkutan (Maritim) di Pelabuhan Klang, Selangor.

Pada 21 Jun lalu, Khairy dilaporkan berkata, sebanyak 10% daripada populasi negara disasarkan akan memperoleh vaksinasi sepenuhnya menjelang pertengahan Julai ini.

FMT/-

Tiada ulasan: