08 Ogos 2021

Arab Saudi buka semula sempadan untuk jemaah divaksin

 Arab Saudi akan mula menerima jemaah asing yang sudah divaksinasi ke kota suci Makkah untuk menunaikan ibadah umrah. - Foto AFP

Arab Saudi akan mula menerima jemaah asing yang sudah divaksinasi ke kota suci Makkah untuk menunaikan ibadah umrah. - Foto AFP

RIYADH: Arab Saudi akan mula menerima jemaah asing yang sudah divaksinasi ke kota suci Makkah untuk menunaikan ibadah umrah, lapor media kerajaan hari ini.

Negara terbabit sebelum ini menutup sempadannya sejak tempoh 18 bulan lalu berikutan penularan pandemik COVID-19.

"Kementerian Haji dan Umrah mengumumkan permulaan untuk menerima jemaah meliputi umrah dalam kalangan warganegara dan penduduk serta permintaan umrah secara berperingkat dari negara di seluruh dunia,' lapor agensi berita Saudi sambil menambah pihak berkuasa akan mula menerima permintaan kebenaran perjalanan mulai esok.

Umrah adalah ziarah yang boleh dilakukan pada bila-bila masa, berbeza dengan haji hanya sekali dalam tempoh setahun dan biasanya membabitkan berjuta-juta orang dari seluruh dunia saban tahun.

Bagaimanapun, pandemik COVID-19 menjejaskan ibadah umrah yang lazimnya menjana pendapatan sekitar AS$12 bilion (RM50.63 bilion) setiap tahun.

Sebelum pengumuman itu, hanya jemaah yang diimunisasi dan menetap di Arab Saudi dibenarkan melakukan umrah, walaupun haji disempurnakan dalam kelompok kecil sejak bermula pandemik pada penghujung 2019.

Susulan itu, jemaah asing perlu diimunisasi dengan vaksin diperakui oleh kerajaan Arab Saudi dan bersetuju untuk menjalani kuarantin, menurut laporan SPA yang memetik Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdulfattah bin Sulaiman Mashat.

Riyadh berbelanja berbilion dolar dalam usahanya membangunkan industri pelancongan sejak daripada awal, yang menjadi sebahagian usaha mempelbagaikan ekonomi yang bergantung kepada hasil sumber minyak.

Kerajaan yang mengeluarkan visa pelancong buat pertama kali pada 2019 sebagai galakan memperbaiki imej globalnya serta menarik kedatangan pengunjung.

Antara September 2019 hingga Mac 2020, Arab Saudi hanya mengeluarkan 400,000 visa berikutan pandemik dan penutupan sempadan negara.

Selain itu, Arab Saudi juga dilaporkan mempercepatkan program vaksinasi di seluruh negara dalam usaha menghidupkan kembali industri pelancongan dan sektor lain yang dilanda pandemik seperti pertandingan sukan dan penganjuran acara hiburan.

Vaksinasi diwajibkan kepada individu yang ingin memasuki pejabat kerajaan dan swasta, termasuk institusi pendidikan, tempat hiburan serta menggunakan pengangkutan awam.

Arab Saudi merekodkan hampir 532,000 kes COVID-19 dan lebih daripada 8,300 kematian. - AFP

Tiada ulasan: