21 Ogos 2021

Ismail Sabri angkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-9



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara sebentar tadi.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 2.30 petang.

Ismail Sabri kemudian menandatangani dokumen-dokumen berkaitan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebelum istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah.

Yang turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Antara pemimpin parti politik yang hadir, bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Selain itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan, diiringi isteri beliau, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin ke istiadat berkenaan.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia susulan peletakan jawatan Muhyiddin selepas Ahli Parlimen Pagoh itu hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Pada 18 Ogos lalu, Istana Negara menerima pencalonan nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli Parlimen, masing-masing menerusi surat akuan (SD).

Mengikut SD berkenaan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonkan Ismail Sabri, sekali gus memperoleh jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Susulan itu, Seri Paduka berkenan menerima menghadap 114 Ahli Parlimen kelmarin untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menandatangani dokumen berkaitan pada majlis angkat sumpah jawatan Perdana Menteri Kesembilan di Istana Negara.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menandatangani dokumen berkaitan pada majlis angkat sumpah jawatan Perdana Menteri Kesembilan di Istana Negara.

Tiada ulasan: