21 Ogos 2021

Lantikan Ismail buka ruang Umno, PAS, Bersatu kembali dalam MN, kata bekas menteri

 

Annuar Musa berkata penyelesaian kemelut yang berakhir dengan lantikan Ismail Sabri Yaakob menjadi peluang terbaik untuk perkukuh semula Muafakat Nasional secara inklusif.

PETALING JAYA: Berakhirnya kemelut politik dengan pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri baharu diharap dapat mengukuhkan kembali Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan Umno dan PAS, termasuk dengan menjemput kembali Bersatu, kata Annuar Musa.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, inilah masa untuk semua tiga parti teras utama itu dalam memperkukuhkan kembali MN termasuk melibatkan parti-parti lain dalam pembentukan satu gabungan inklusif.

“Saya boleh bagi pandangan peribadi sebab sudah tidak ada jawatan besar dalam parti, tapi pandangan saya sebagai orang lama dalam politik saya rasa ini peluang terbaik untuk perkukuh semula MN secara inklusif.

“Bila saya kata inklusif ia tak cukup setakat itu, saya terlibat menulis piagam MN dalam itu terkandung hasrat tidak tertunai sebelum ini iaitu membentuk satu muafakat yang meluas mesti merangkumi pelbagai kaum dalam negara. Gunalah peluang ini ke arah politik matang, ambil pengajaran bahawa politik tidak stabil tidak membawa keuntungan kepada sesiapa, semua pihak harus kembali duduk semeja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri melancarkan ‘flag off’ perjalanan Sukarelawan Rumah Prihatin untuk penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Merbok dan Jerai.

Kedudukan MN sebelum ini terjejas selepas gabungan itu gagal didaftarkan dan ia lebih meruncing apabila Umno membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya akan datang. FMT/-

Tiada ulasan: