ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu supaya tidak menjadikan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula hari ini sebagai medan perbalahan politik dan perebutan kuasa.
Sebaliknya, baginda bertitah semua 56 ADUN Johor perlu menggunakan sesi persidangan itu untuk membincangkan pelan tindakan bagi membantu rakyat serta membangunkan ekonomi negeri berkenaan.
"Ahli Dewan tidak perlu berbahas atau membawa usul yang tidak berkenaan. Awak semua perlu pentingkan rakyat di luar yang sedang susah, kelaparan, hilang pekerjaan dan ada juga yang bertarung nyawa akibat penularan wabak COVID-19.
"Ini bukan masa untuk berbalah, tetapi untuk bersatu dan bekerjasama. Jangan tanya orang lain apa yang sudah dibuat untuk bantu rakyat, tetapi lihat dan cermin muka sendiri.
"Ingin saya ingatkan DUN ini tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri Johor.
"Jangan cemarkan dewan ini dengan perangai buruk, ini adalah dewan mulia bukan dewan sangkar beruk," titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah ketika merasmikan pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 hari ini.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan Speaker DUN Johor, Suhaizan Kayat, supaya menjalankan kerja dengan baik dalam mengawal perjalanan persidangan kali ini.
"Suka saya ingatkan yang saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai mengganggu gugat negeri dan kerajaan saya.
"Jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan saya sekarang, maka saya tidak teragak-agak untuk membubarkan DUN Johor. Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri bukannya kepentingan rakyat.
"Apabila keadaan COVID-19 terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih Ahli Dewan yang baharu. Selepas ini, pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk masyarakat," titah baginda.
Sementara itu, Sultan Ibrahim turut melahirkan kebimbangan dengan keadaan terkini penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat.
"Keadaan ini amat membimbangkan saya, tambahan terdapat varian baharu COVID-19 yang lebih mudah berjangkit dan cepat merebak sehingga meragut nyawa pesakit.
"Oleh itu, semua rakyat dinasihatkan supaya lebih berhati-hati, kurangkan pergerakan keluar rumah dan sentiasa mengamalkan pencegahan yang disyorkan oleh kerajaan.
"Persidangan dewan kali ini juga perlu dibuat dengan berhati-hati. Pastikan semua yang hadir mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan penilaian risiko kesihatan perlu dibuat setiap hari.
"Jika ada ancaman risiko tinggi, saya minta Speaker tangguhkan sidang dewan ini," titah baginda.
Dalam pada itu, baginda menitahkan kerajaan negeri bekerja keras membangunkan semula ekonomi Johor, termasuk membantu peniaga selain menarik pelabur luar supaya banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.
"Kerajaan Johor perlu membuat dasar baharu yang mesra pelabur dengan insentif lebih menarik supaya mereka (pelabur) datang ke negeri ini," titah baginda.BH/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan